Malaysia amat perlu tenaga kerja asing, kata MEF

Malaysia amat perlu tenaga kerja asing, kata MEF

Persekutuan Majikan Malaysia berkata tidak semua industri bersedia mengadaptasi transformasi teknologi dan digital dalam perniagaan mereka.

MEF berharap kerajaan mencari penyelesaian segera berhubung isu tenaga kerja asing dalam beberapa sektor ekonomi terpilih.
PETALING JAYA:
Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menggesa kerajaan menyelesaikan segera kekurangan tenaga kerja asing, sambil menegaskan tidak semua industri sudah bersedia melaksanakan Industri Revolusi 4.0 (IR4.0).

Presidennya, Syed Hussain Syed Husman, berkata tenaga kerja asing boleh berperanan mengisi pekerjaan “kolar biru”, selain tenaga kerja tempatan mengisi pekerjaan penyeliaan.

Beliau berkata, Malaysia sangat memerlukan tenaga kerja asing dan MEF berharap kementerian berkenaan bekerjasama mencari penyelesaian kekurangan buruh asing dalam beberapa sektor terpilih dalam ekonomi.

“Jika sektor berkenaan tidak produktif, maka ekonomi keseluruhannya juga akan merana.

“Kita perlu melihat melangkaui tenaga kerja asing dan melihat apakah keperluan segera dalam mengembangkan kembali ekonomi domestik pada kadar segera,” katanya.

Beliau berkata, usaha pemulihan ekonomi negara dijangka terjejas sekiranya tenaga kerja asing tidak dibenarkan sepenuhnya.

Syed Hussain berkata, majikan kini berada dalam kekecewaan susulan tidak mampu mengembangkan semula perniagaan mereka, susulan tenaga kerja tempatan enggan mengisi kekosongan yang kebiasaaanya diisi tenaga kerja asing walaupun lebih 500,000 pekerja tempatan masih menganggur.

Beliau berkata, MEF turut menyelar majikan yang tidak bertanggungjawab melanggar undang-undang buruh dan mencadangkan agar kerajaan mengenakan tindakan lebih tegas terhadap mereka.

Dalam laporan sebelum ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali, berkata pelaksanaan IR4.0 bertujuan memacu adaptasi terhadap teknologi, termasuk melaksanakan transformasi digital dalam menggerakkan ekonomi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.