Bot kecil jadi taktik baharu bawa masuk rokok seludup

Bot kecil jadi taktik baharu bawa masuk rokok seludup

Jurucakap syarikat tembakau berkata penyeludup telah mengubah taktik mereka pada Mei lalu sejak kerajaan mengambil beberapa langkah.

Pegawai kastam menunjukkan rokok seludup yang dirampas pada November tahun lalu. (Gambar Kastam)
PETALING JAYA:
Penyeludup dikesan menggunakan bot kecil sebagai taktik terbaharu mereka untuk memunggah masuk rokok seludup dari Thailand ke negara ini, kata pemerhati industri.

Seorang jurucakap syarikat tembakau berkata, barangan itu kemudiannya diangkut menaiki lori dari pelabuhan sebelum dijual kepada ejen tempatan di negara ini.

Shaiful Bahari Mahpar dari Japan Tobacco International Malaysia Bhd berkata, taktik itu dikesan pada Mei lalu selepas kerajaan melaksanakan beberapa langkah yang membuahkan hasil menyebabkan aktiviti membawa masuk rokok seludup semakin berkurangan.

Langkah yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2021 itu hanya membenarkan penghantaran rokok dilakukan di lima pelabuhan sahaja manakala lesen import baharu dibekukan dan syarat lesen import turut diperketatkan.

Shaiful Bahari, yang juga pengarah komunikasi JTI, berkata, kekurangan bekalan rokok seludup di pasaran menyebabkan harganya meningkat dari RM7 kepada RM8 sepeket manakala rokok sah pula dijual pada harga RM12 sepeket.

Katanya, perokok juga yang sebelum ini membeli rokok seludup kemudiannya beralih kepada rokok sah, sekali gus melonjakkan jualan dan pendapatan cukai.

Shaiful berkata, proses membawa masuk rokok dari Thailand hanya boleh dibenarkan sekiranya produk terbabit mempunyai label amaran kesihatan oleh negara itu dan mempunyai setem cukai serta lesen import yang sah.

Penganalisis pelaburan Pankaj Kumar berkata, barang seludup terbabit boleh dibawa masuk dengan mudah kerana negara mempunyai kawasan pantai yang luas serta banyak laluan masuk dan agensi keselamatan perlu meningkatkan usaha mereka untuk membanteras kegiatan terbabit.

Beliau turut menggesa kerajaan supaya tidak menaikkan cukai rokok menerusi pembentangan Belanjawan 2022.

“Bagi setiap 10% kenaikan cukai, kerajaan akan mengalami kerugian sebanyak RM250 juta pendapatan cukai akibat penyeludupan,” katanya yang menganggarkan kerajaan kehilangan kira-kira RM5 bilion pendapatan cukai ketika ini akibat kegiatan itu.

Pankaj berkata, terdapat banyak negara lain yang menjual rokok pada harga lebih mahal tidak berdepan dengan masalah penyeludupan disebabkan penguatkuasaan yang berkesan.

Sejak beberapa tahun lalu, Pankaj berkata, syarikat rokok antarabangsa telah menghentikan operasi di negara ini hingga menyebabkan kehilangan ribuan pekerjaan di kilang.

Phillip Morris menghentikan operasi pada 2012, manakala British American Tobacco pada 2016 dan JTI pula setahun selepas itu.

Tiga syarikat itu kini hanya mengimport rokok ke negara ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.