Segelintir ibu bapa tak benar anak divaksin, kata timbalan menteri

Segelintir ibu bapa tak benar anak divaksin, kata timbalan menteri

Timbalan Menteri Pendidikan Mah Hang Soon berkata, bagaimanapun jumlahnya yang tidak benarkan anak divaksin itu amat kecil, dan belum ada angka sebenar kerana program ini masih berjalan.

Timbalan Menteri Pendidikan Mah Hang Soon (kanan) melihat proses pemberian vaksin Covid-19 kepada pelajar sekolah ketika melakukan lawatan di pusat pemberian vaksin Encore Melaka sempena Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di Kota Syahbandar hari ini. (Gambar Bernama)
SEREMBAN:
Terdapat sebilangan kecil ibu bapa yang masih belum bersedia untuk membenarkan anak-anak mereka mendapatkan suntikan vaksin Covid-19, kata Timbalan Menteri Pendidikan Mah Hang Soon.

Bagaimanapun katanya, tiada data khusus berhubung jumlah pelajar terbabit memandangkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja baharu sahaja dilaksanakan.

“Memang ada (yang belum bersedia), saya telah melawat banyak pusat pemberian vaksin (PPV) di beberapa negeri tetapi jumlahnya amat kecil, tetapi kita belum ada angka sebenar kerana program ini masih berjalan, namun sekecil manapun ia perlu diambil perhatian.

“Saya rasa kalau kita perkenalkan atau memulakan sesuatu sudah tentu masih ada segelintir kecil yang belum bersedia (menerima) atas sebab tertentu, walaupun telah banyak (kebaikan) dimaklumkan kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas melawat program PICK Remaja di PPV Majlis Bandaraya Seremban di sini hari ini.

Sehubungan itu katanya, pelbagai langkah diambil Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memberi penerangan kepada ibu bapa dan pelajar tentang kepentingan vaksinasi, termasuk menyediakan kaunter maklumat dan kaunseling di setiap PPV.

Mah berkata, KPM tidak akan menghalang pelajar yang masih belum mengambil vaksin Covid-19 untuk hadir ke sekolah apabila sesi persekolahan secara bersemuka dibuka 3 Okt nanti, namun pihaknya akan terus memberi penerangan kepada mereka.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati ibu bapa supaya segera membawa anak mereka mendapatkan rawatan di klinik dan hospital sekiranya mengalami kesan sampingan atau gejala serius selepas suntikan vaksin, selain mengemas kini data kesihatan di aplikasi MySejahtera.

Sementara itu beliau berkata, sebanyak 33.3% daripada lebih 2 juta murid berusia 12 hingga 17 tahun di seluruh negara telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 sehingga semalam, manakala 4.5% lengkap vaksinasi, membabitkan 687 PPV.

“Di Negeri Sembilan, seramai 24.1% telah menerima dos pertama dan 4.7% lengkap dua dos, yang dilaksanakan di 44 PPV di seluruh negeri ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.