3 lelaki ditahan kes maut dipukul kawan baik

3 lelaki ditahan kes maut dipukul kawan baik

Polis berkata semua suspek bekerja sebagai buruh itu ditahan dalam serbuan dari 5.15 petang hingga 8.30 malam kelmarin.

Menurut polis, ketiga-tiga lelaki direman selama lima hari sehingga 30 Sept ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
PETALING JAYA:
Tiga lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan membabitkan kes seorang lelaki ditemui mati dipercayai dipukul oleh kawan baiknya dalam kejadian di Changkat Minden Height, Gelugor di Georgetown, Pulau Pinang pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Soffian Santong berkata, semua suspek yang berumur lingkungan 41 hingga 57 tahun dan bekerja sebagai buruh ditahan dalam serbuan di Air Itam, Jelutong dan Lebuh Pantai dari 5.15 petang hingga 8.30 malam kelmarin.

“Tiga lelaki dipercayai rakan kepada mangsa warga tempatan berusia 52 tahun itu ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes pembunuhan yang berlaku akibat perselisihan faham,” katanya, menurut laporan Bernama.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal dan hasil ujian air kencing mendapati seorang daripada mereka positif dadah dan dua suspek memiliki rekod lampau berkaitan jenayah.

Soffian berkata, ketiga-tiga lelaki direman selama lima hari sehingga 30 Sept ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Jumaat lalu, media melaporkan seorang lelaki ditemui meninggal dunia dengan kesan kecederaan dan lebam dipercayai selepas dipukul rakannya akibat perselisihan faham.

Soffian berkata, pihak polis mulanya menerima panggilan kecemasan yang memaklumkan berlaku kemalangan jalan raya sehingga menyebabkan seorang penunggang motosikal maut pada 2.30 petang.

Bagaimanapun katanya, pegawai penyiasat trafik yang ke lokasi kejadian telah membuat pemeriksaan awal dan mendapati tiada unsur kemalangan seperti yang dimaklumkan kepada pihak polis.

“Namun beliau percaya telah berlaku kes jenayah sehingga menyebabkan seorang lelaki berusia 52 tahun meninggal dunia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.