12 hospital siap dibina dalam tempoh RMK12, kata Ismail

12 hospital siap dibina dalam tempoh RMK12, kata Ismail

Perdana Menteri berkata sebuah institut penyakit berjangkit turut dibina pada tahun hadapan di Bandar Enstek, Negeri Sembilan.

Ismail berkata, kerajaan akan membangunkankan fasiliti kesihatan baharu sebagai tambahan kepada 12 hospital yang sedang dibina di seluruh negara. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, 12 hospital yang sedang dibina di seluruh negara akan siap dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Beliau berkata, sebuah institut penyakit berjangkit akan dibina di Bandar Enstek, Negeri Sembilan pada tahun depan bertujuan mencegah penyakit, ketidakupayaan dan kematian yang disebabkan penyakit berjangkit.

“Kerajaan juga mengenal pasti langkah proaktif meningkatkan kesiapsiagaan hospital untuk mencapai nisbah 2.06 katil hospital bagi setiap 1,000 penduduk menjelang tahun 2025.

“Kerajaan akan turut membangunkankan fasiliti kesihatan baharu sebagai tambahan kepada 12 hospital sedang dibina di seluruh negara dan dijangka siap dalam tempoh RMK12,” katanya ketika membentangkan RMK12 di Dewan Rakyat.

Ismail berkata, beliau sedar dalam situasi pandemik Covid-19, rakyat menaruh harapan yang tinggi kepada kerajaan dan Putrajaya akan sentiasa mencari jalan terbaik memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia dalam pelbagai aspek, terutama penjagaan kesihatan.

“Kerajaan kekal komited bagi memperkukuh sistem penjagaan kesihatan demi memastikan rakyat sihat dan produktif. Sehubungan itu, kerajaan akan mengkaji semula keberkesanan sistem kesihatan sedia ada, dan dasar kesihatan negara akan dirangka bagi meningkatkan kesiapsiagaan mengurus penyakit berjangkit serta krisis kesihatan.

“Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara juga sedang dimuktamadkan bagi memastikan Malaysia mampu menghasilkan vaksin sendiri. Pelan ini juga membolehkan negara bersedia menghadapi sebarang pandemik pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail menambah kelengkapan dan peralatan kesihatan, termasuk keperluan unit rawatan rapi (ICU) akan ditambah.

“Dalam usaha untuk merapatkan jurang perbezaan fasiliti kesihatan bandar dan luar bandar, kerajaan akan membina dan menaik taraf klinik-klinik kesihatan di seluruh negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.