Perumahan mewah ‘dalam rundingan’ dibina di tanah ilham ‘Crazy Rich Asians’ di Singapura

Perumahan mewah ‘dalam rundingan’ dibina di tanah ilham ‘Crazy Rich Asians’ di Singapura

Wakil Tengku Mahkota Johor, pemilik tanah berkenaan, sedang cuba mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan untuk membangunkan kluster rumah mewah.

Bidang tanah ini mungkin bernilai antara SGD2.66 bilion (RM8.23 bilion) dan SGD4.5 bilion (RM13.93 bilion, berdasarkan anggaran semasa saiz tanah berkenaan. (Gambar Instagram)
SINGAPURA:
Sebidang tanah kosong luas di tengah-tengah Singapura, yang menjadi ilham bagi latar belakang filem “Crazy Rich Asians”, mungkin berubah menjadi tapak pembangunan kediaman mewah bernilai berbilion dolar, menurut sumber dengan maklumat mengenai rancangan itu.

Wakil Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim – pemilik tanah berkenaan – sedang dalam rundingan dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan kebenaran membangunkan kluster rumah mewah di kawasan hutan bersebelahan Taman Botani Singapura, sebuah Warisan Dunia UNESCO, kata sumber yang enggan dinamakan itu, memandangkan perbincangan berkenaan bersifat sulit.

Berukuran 30 kali lebih besar daripada Rumah Putih, projek berkenaan akan menjadi salah satu pembangunan swasta termahal di Singapura dalam tempoh beberapa dekad, dan mungkin menelan belanja sebanyak SGD4.5 bilion (RM13.9 bilion), menurut anggaran Savills Plc.

Sekiranya dibina, rumah mewah itu, yang terletak tidak jauh daripada daerah terkenal beli-belah Orchard Road, mungkin akan menarik minat golongan kaya di rantau itu yang telah lama membeli rumah kedua di bandar itu, satu trend yang menjadi popular semasa wabak.

Pasaran kediaman di Singapura yang “panas” mencatatkan jualan rumah berjumlah SGD32.9 bilion (RM101 bilion) pada separuh pertama tahun ini, dua kali ganda tahap yang dicatatkan di Manhattan dalam tempoh yang sama.

Kawasan yang belum dibangunkan itu kini dizonkan bagi “penggunaan istimewa ruang hijau”, yang bermaksud, pembangunan bagi tujuan lain, seperti perumahan dan komersial, dihadkan.

Perbincangan mengenai potensi pembangunan telah berlangsung sejak tahun lepas, tetapi belum ada keputusan muktamad, kata mereka. Setelah kedua-dua pihak menandatangani perjanjian, kawasan tersebut perlu dikategorikan semula sebelum pembangunan bermula.

Seorang wakil Peter Lim, yang membantu Tengku Mahkota Johor dalam hal-hal berkaitan tanah ini, enggan memberi komen.

Pihak Berkuasa Pembangunan Semula Bandar Singapura, yang mengawasi perancangan tanah di negara itu, berkata pihaknya “tidak dapat membincangkan atau mendedahkan rancangan oleh pemilik hartanah peribadi.”

Tapak seluas 210,875 meter persegi (2.3 juta kaki persegi) milik Sultan Johor dulunya lebih luas, tetapi secara beransur-ansur berkurangan apabila kerajaan Singapura memperoleh tanah untuk memperluas Taman Botani.

Pada 1990, Singapura membeli sebidang tanah dengan harga SGD25 juta dan ia memperoleh sebidang lagi berukuran 98,000 meter persegi pada 2009 dengan harga yang tidak didedahkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.