
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata pendatang tanpa izin itu ditahan di dalam premis kilang pakaian ketika serbuan kira-kira 4 petang, Khamis lepas di Ampang.
Katanya, mereka ditahan berumur antara 17 hingga 56 tahun yang terdiri daripada warga Bangladesh, Myanmar dan Indonesia.
Turut ditahan ialah seorang wanita tempatan berumur 37 tahun yang merupakan pengarah syarikat pengeluaran pakaian yang dikatakan mengaut hasil jualan antara RM130,000 hingga RM150,000 sebulan.
“Suspek (pengusaha kilang pakaian) menggunakan PLKS yang disyaki diperolehi melalui sindiket ID-Hack sebelum ini untuk menubuhkan sebuah syarikat di Malaysia (dan) syarikat suspek aktif dalam bidang industri pembuatan pakaian untuk pasaran Lembah Klang dan sekitar Selangor sejak tahun 2012,” katanya semalam, menurut laporan Bernama.
Khairul berkata operasi itu dilaksanakan susulan kejayaan Op Hack agensi itu bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), April lepas serta beberapa siri operasi bagi mengesan saki-baki individu yang menggunakan pelekat PLKS yang dikeluarkan oleh sindiket ID Hack terbabit.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati modus operandi suspek (pengusaha kilang pakaian) adalah menubuhkan syarikat dengan kerjasama warga tempatan dan menggunakan sumber tenaga kerja dalam kalangan pendatang tanpa izin untuk memaksimumkan keuntungan.
“Suspek bertindak menyewa beberapa premis komersial termasuk sebuah bangunan tiga tingkat untuk dijadikan kilang bagi aktiviti memotong, menjahit, mencetak pakaian selain dijadikan sebagai hostel pekerja manakala sebuah premis pula dijadikan sebagai pusat pameran dan jualan syarikat,” katanya.
Katanya, suspek turut mampu menggaji seramai 45 orang warga asing dengan anggaran bayaran gaji seorang sebanyak RM1,600 sebulan untuk meningkatkan pengeluaran bagi memenuhi permintaan pelanggan.
Khairul berkata selain merampas sejumlah wang tunai dipercayai hasil jualan harian pakaian, turut dirampas dokumen-dokumen syarikat dan beberapa Sijil Pemilikan Kenderaan yang didaftarkan menggunakan nama syarikat yang sama.
Katanya, pihaknya percaya suspek ada menyimpan hasil keuntungan yang masih belum dipastikan jumlahnya di beberapa akaun bank tempatan berdasarkan kad ATM yang dirampas.
Khairul berkata semua mereka ditahan di bawah Seksyen 51(5) (b) Akta Imigresen 1959/63 selama 14 hari untuk siasatan lanjut.
Katanya suspek dan wanita tempatan berkenaan turut disiasat atas kesalahan menggaji pekerja asing tanpa pas yang sah di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta kesalahan-kesalahan lain berkaitan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001(Akta 613) dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
Beliau berkata kegiatan itu menyebabkan kerugian hasil levi kerajaan mencecah RM700,000 sepanjang tempoh syarikat itu beroperasi.