Tanpa sukuk, pembinaan Pan Borneo bergantung peruntukan Putrajaya, kata Bung

Tanpa sukuk, pembinaan Pan Borneo bergantung peruntukan Putrajaya, kata Bung

Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata, pembatalan Rakan Pelaksana Projek bagi pembinaan Pan Borneo di Sabah tanpa mendapatkan sukuk atau bon, membawa kesukaran kepada pelaksanaan projek.

Bung Moktar Radin sedia menerangkan lebih lanjut mengenai projek Lebuhraya Pan Borneo di Dewan Rakyat bagi memastikan semua pihak memahami apa yang berlaku dan projek itu berjalan lancar. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Tindakan kerajaan terdahulu membatalkan Rakan Pelaksana Projek (PDP) bagi pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di Sabah tanpa mendapatkan sukuk atau bon terlebih dahulu, menimbulkan kesukaran dalam pelaksanaan projek itu, terutama bagi aspek pembiayaan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Bung Moktar Radin berkata, tanpa sukuk atau bon, pembiayaan projek itu kini terpaksa bergantung kepada peruntukan pembangunan daripada kerajaan persekutuan.

“Sarawak mereka batalkan PDP, tetapi mereka sudah dapatkan sukuk atau bon untuk projek itu, tetapi di Sabah terbalik, mereka tidak teliti dan kaji, batal PDP tetapi sukuk atau bon belum diurus…apabila tinggal peruntukan pembangunan, Pan Borneo tidak dapat dibangunkan menyeluruh.

“Ada kira-kira RM1 bilion satu tahun (peruntukan pembangunan) untuk bangunkan projek ini…saya kira-kira jika cara ini, 45 tahun pun belum tentu projek ini boleh siap untuk dinikmati rakyat kita,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas kenyataan tiga Ahli Parlimen DAP, iaitu Chan Foong Hin (Kota Kinabalu), Noorita Sual (Tenom) dan Vivian Wong Shir Yee (Sandakan) mendakwa beliau mengelirukan Dewan Rakyat dengan mengatakan Pakatan Harapan memotong bajet projek itu ketika membahaskan usul titah diraja pada 21 Sept lepas.

Mengulas lanjut dakwaan itu, Bung berkata, beliau sedia menerangkan lanjut projek itu di Dewan Rakyat bagi memastikan semua pihak memahami apa yang berlaku dan projek berkenaan berjalan lancar.

“Saya tidak mengelirukan Dewan Rakyat, mereka sebenarnya yang menipu…jangan bimbang, saya akan jawab mereka di Parlimen. Apa yang penting sekarang, tanggungjawab kita bangunkan projek ini dengan lancar dan cepat untuk rakyat kita di Sabah.”

Bung pada sidang Dewan Undangan Negeri Sabah Khamis lepas dilaporkan berkata, projek itu mempunyai tiga fasa, iaitu melibatkan pembinaan keseluruhan 1,236km lebuh raya dengan kos RM40.2 bilion.

Beliau berkata, fasa satu projek itu yang melibatkan 35 pakej telah siap proses reka bentuk membabitkan pembinaan sejauh 706km dengan kos RM15.2 bilion dan 15 pakej dalam peringkat pembinaan pada masa ini, melibatkan 317.6km dengan kos RM7.98 bilion di bawah pembiayaan kerajaan persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.