NGO pertahan tinjauan, ajak NUTP bincang mengenai gangguan seksual

NGO pertahan tinjauan, ajak NUTP bincang mengenai gangguan seksual

NGO berkata, tinjauan awal mereka menyasarkan wanita Malaysia, khususnya yang berusia antara 18 dan 30 tahun, bukan keseluruhan populasi.

Centre for Governance and Political Studies dan AWAM berkata, matlamat mereka adalah untuk terus mengetengahkan kes-kes gangguan seksual yang berlaku dan tidak ditangani sebaiknya.
PETALING JAYA:
Badan bukan kerajaan (NGO) penganjur tinjauan mengenai gangguan seksual, yang dibidas kesatuan guru, mempertahankan kajian mereka dengan berkata, ia mematuhi penanda aras saintifik 1,000 responden untuk sampel tinjauan yang mewakili populasi.

Centre for Governance and Political Studies dan All Women’s Action Society (AWAM) menolak hujah Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) bahawa tinjauan itu tidak tepat kerana ia hanya melibatkan 1,056 responden.

“Sehubungan dengan tahap keyakinan 95% dan ralat margin 3%, kami juga ingin jelaskan, tinjauan awal kami menyasarkan wanita Malaysia, khususnya dalam lingkungan usia 18 hingga 30 tahun, bukan keseluruhan populasi.

“Justeru, peratusan 0.003% yang disebut adalah tidak tepat. Malang sekali NUTP mengambil pendirian untuk menyangkal tinjauan tersebut. Matlamat tinjauan ini bukan untuk mencemarkan reputasi mana-mana kumpulan atau profesion tertentu,” kata mereka dalam kenyataan.

NGO itu juga mengajak kesatuan berkenaan untuk bekerjasama dalam isu gangguan seksual.

Tinjauan mendapati responden, berusia 18 hingga 30 tahun, selalu mengalami gangguan seksual, dengan 44% berkata, mereka pernah menyaksikan guru membuat jenaka lucah.

Responden di seluruh negara ditanya sama ada mereka pernah mengalami gangguan seksual dalam kehidupan seharian.

Semalam, Setiausaha Agung NUTP Wang Heng Suan berkata, tinjauan itu “tidak adil dan tidak bertanggungjawab” kerana bilangan responden hanya mewakili 0.003% daripada populasi.

Hasilnya akan berbeza jika bilangan responden lebih tinggi, katanya.

NGO berkenaan berkata, mereka terbuka untuk berkomunikasi secara langsung dengan NUTP untuk membentangkan hasil tinjauan, bagi memastikan guru-guru dapat gambaran yang tepat mengenai implikasinya.

“Tinjauan itu mengambil sampel wanita muda, bukan guru, dua saiz sampel dan populasi berbeza,” menurut kenyataan.

Tambahnya, matlamat mereka adalah untuk terus mengetengahkan kes-kes gangguan seksual yang berlaku dan tidak ditangani sebaiknya.

Sekalipun hanya segelintir wanita membuat aduan, isu ini tidak patut diketepikan, katanya.

“Kita mesti siasat dengan sempurna dan ambil tindakan yang tepat untuk memastikan situasi ini tidak berulang.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.