
Ong Kian Ming daripada DAP berkata, ia termasuk peruntukan untuk pembangkang di negeri yang dikuasai Pakatan Harapan, seperti Pulau Pinang dan Selangor.
Ahli Parlimen Bangi itu berkata, wakil rakyat Perak menerima peruntukan sama, manakala peruntukan itu “sedikit sebanyak” sama untuk semua wakil rakyat di Johor.
“Jadi, ia salah dari segi fakta untuk katakan kita tidak mencapai apa-apa.
“Walaupun kita belum sampai ke tahap diingini, agak banyak usaha dilakukan sejak 2008,” katanya pada webinar pembiayaan politik hari ini.
Beliau berkata demikian susulan kenyataan ahli ekonomi, Terence Gomez, walaupun kempen besar-besaran berkaitan reformasi pembiayaan politik – khasnya selepas pilihan raya umum 2008 yang menyaksikan lima negeri dikuasai pembangkang – “Tiada apa yang dicapai kita”.
Ong memuji memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara pembangkang dan kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini, yang turut menawarkan peruntukan sama kepada semua Ahli Parlimen.
Katanya, walaupun ia bukan berkaitan pembiayaan politik secara langsung, hakikat peruntukan sama diberikan kepada kedua-dua pihak menunjukkan tekanan Ahli Parlimen berkurangan dari segi pengumpulan dana untuk kawasan Parlimen mereka.
“Khasnya untuk pembangkang dan juga Ahli Parlimen kerajaan bagi kerja kawasan Parlimen mereka.”
Ong berharap peruntukan sama akan diberikan kepada Ahli Parlimen pembangkang lain yang tidak menandatangani MoU itu, termasuk PEJUANG.
Beliau turut mendedahkan pembangkang mahu memasukkan banyak perkara lain dalam MoU itu, termasuk pembiayaan politik dan persempadanan kawasan pilihan raya, tetapi memutuskan tidak berbuat demikian “untuk memfokuskan perkara lain”.
Tetapi, katanya, semangat MoU itu akan membolehkan perbincangan sedemikian diadakan kemudian.
Ong bagaimanapun menyuarakan kebimbangan terhadap pembiayaan politik untuk parti.
“Saya rasa akan ada tekanan semakin banyak terhadap ahli politik, khasnya mereka yang lebih muda untuk menggunakan peruntukan yang diketepikan kerajaan negeri atau persekutuan, bagi menyumbang kepada ahli melalui NGO atau persatuan dikuasai mereka.”
Beliau berharap akan ada lebih banyak perbincangan mengenai perkara itu, termasuk dalam partinya sendiri.
“Ia adalah sesuatu yang belum dibincangkan dengan banyak dalam parti disebabkan sensitiviti menjelang pemilihan CEC akan datang,” katanya merujuk pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat parti itu.