
Pemimpin empat parti komponen PH Sabah berkata, mendedahkan laporan itu kepada umum akan memberi peluang kepada seluruh negara menghargai serta memahami kepentingan MA63.
“Salah tafsiran sejarah dan fakta mengenai MA63 antara sebab pelaksanaan MA63 sepenuhnya masih menjadi cabaran, walaupun selepas 58 tahun pembentukan Malaysia.
“Cukup banyak yang dilakukan untuk mengurangkan hak Sabah dan Sarawak selama bertahun-tahun,” kata mereka dalam kenyataan hari ini.
Mereka berkata, orang ramai tidak tahu mengenai kewujudan dan komposisi mana-mana jawatankuasa untuk membincangkan isu dibangkitkan Sabah dan Sarawak, selain tiada penjelasan terperinci atau ketelusan dalam usaha meneruskan pelaksanaan peruntukan perjanjian itu.
“Sekarang, mereka juga mahu menguburkan laporan akhir itu di bawah Akta Rahsia Rasmi. Apa yang kerajaan takutkan?”
Kenyataan itu ditandatangani Ketua PKR Sabah, Christina Liew, Presiden UPKO, Wilfred Madius Tangau, Ketua DAP negeri, Frankie Poon dan Ketua Amanah, Lahirul Latigu.
Kenyataan itu menyusul kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Maximus Ongkili di Dewan Rakyat baru-baru ini yang mengulangi tiada keperluan mendedahkan laporan berhubung perbincangan berterusan isu berkaitan MA63.
Ongkili dilaporkan berkata, terlalu awal untuk membuat pengumuman berhubung perbincangan yang sedang berlangsung kerana perkara itu masih dalam rundingan.
“Laporan berkenaan (berkaitan perbincangan MA63) sangat teknikal dan dokumennya juga sulit, yang mana dilindungi oleh undang-undang berkaitan.
“Bagaimanapun, pengumuman mengenainya akan dibuat dari semasa ke semasa, selepas kita telah mencapai penyelesaiannya,” katanya menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat dalam ucapan penggulungan perbahasan titah diraja pada Khamis lalu.
Sementara itu, pemimpin PH Sabah berkata, 17 daripada 21 isu MA63 yang dibentangkan Sabah dan Sarawak semasa pentadbiran PH sudah disetujui bersama.
Baki empat isu lain membabitkan royalti minyak, pembayaran tunai petroleum, galian dan medan minyak, Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) dan hak negeri ke atas pelantar benua.
Dalam kenyataan lain, Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis dari Warisan menyelar Ongkili yang menyatakan tiada keperluan mendedahkan perbincangan berterusan mengenai MA63.
Beliau berkata, kenyataan Ongkili bertentangan semangat memorandum persefahaman yang ditandatangani baru-baru ini oleh Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob bersama PH.
Katanya, menjadi tanggungjawab Ongkili untuk mendedahkan kemajuan dalam empat isu belum selesai itu kerana ia adalah kepentingan umum dan isu MA63 sebahagian daripada MoU yang dimeterai dengan kerajaan.