Kerajaan digesa tubuh pusat sehenti tarik pelaburan Saudi

Kerajaan digesa tubuh pusat sehenti tarik pelaburan Saudi

Bekas menteri persekutuan, Abdul Rahman Dahlan berkata, pusat itu akan memantau pelaburan dari syarikat tempatan dan GLC.

Abdul Rahman Dahlan menemui ‘rakan lamanya’ yang juga Menteri Pelaburan Arab Saudi, Khalid Al-Falih ketika lawatan peribadinya ke Riyadh baru-baru ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang bekas menteri persekutuan menggesa Putrajaya menubuhkan “entiti sehenti” di tahap tertinggi untuk menyelaras pelaburan antara syarikat Malaysia dan Arab Saudi.

Abdul Rahman Dahlan berkata, entiti itu boleh menjadi sebahagian daripada Majlis Ekonomi Negara atau melaporkan kepada Perdana Menteri, serta memantau pelaburan dari syarikat tempatan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Semua pelaburan Malaysia oleh sektor swasta dan GLC dari Malaysia tidak boleh dibuat secara bersendirian. Ianya mesti dirancang, dibantu, dibimbing dan dipantau oleh entiti khusus ini,” katanya dalam catatan di Facebook susulan pertemuan dengan sahabat lamanya yang juga Menteri Pelaburan Saudi, Khalid Al-Falih di Riyadh baru-baru ini.

Rahman, bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dalam rangka lawatan peribadi ke Saudi untuk menunaikan umrah.

Katanya, entiti sehenti itu perlu diketuai individu yang mendapat pengiktirafan tinggi Saudi dalam bidang ekonomi dan hubungan dua hala.

Beliau turut menyarankan meja ekonomi khas Saudi-Malaysia ditubuhkan untuk menjadi rujukan pelabur dari negara Teluk itu yang berminat melabur di Malaysia.

“Pegawai-pegawai MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) dan EPU (Unit Perancang Ekonomi) boleh dijadikan sekretariat bersama entiti ini.

“Mungkin juga entiti ini boleh diperluaskan bidangnya meliputi semua negara teluk.”

Rahman mendapati ada banyak peluang pelaburan untuk syarikat dari kedua-dua negara, serta “tidak ada masa yang lebih sesuai dan strategik untuk memperkuatkan lagi hubungan ekonomi Malaysia dan Arab Saudi”.

Katanya, Saudi sedang mengalami transformasi dramatik di bawah pemerintah Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, dengan Putera Mahkota Mohammed Salman menjadi pemangkin kebangkitan ekonomi negara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.