Tragedi hantar adik vaksin, penunggang motosikal maut tercampak dari ‘flyover’

Tragedi hantar adik vaksin, penunggang motosikal maut tercampak dari ‘flyover’

Mangsa berusia 21 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala manakala adiknya berusia 19 tahun cedera ringan.

Mangsa difahamkan dalam perjalanan pulang ke rumah di Pasir Gudang selepas menghantar adiknya untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di sebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Johor Bahru. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang penunggang motosikal maut selepas tercampak pada ketinggian 6m dari laluan bertingkat Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Timur (EDL) menghala ke Pandan, Johor Bahru, hari ini.

Dalam kejadian 11.20 pagi, mangsa berusia 21 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala, manakala adiknya berusia 19 tahun cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Raub Selamat, berkata kemalangan dipercayai disebabkan motosikal itu terbabas sendiri dan melanggar tembok konkrit di Kilometer 4 Lebuh Raya EDL.

Katanya, mangsa difahamkan dalam perjalanan pulang ke rumah di Pasir Gudang selepas menghantar adiknya untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di sebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Johor Bahru.

“Mangsa yang difahamkan terbabas dan tercampak ke laluan bawah Lebuh Raya EDL, kira-kira pada ketinggian 20 kaki dan mengalami cedera parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Sementara itu, adiknya yang terjatuh di lokasi kejadian hanya mengalami kecederaan ringan di jari sahaja,” katanya menurut laporan Kosmo.

Raub berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk dibedah siasat, manakala adiknya menerima rawatan pesakit luar di hospital sama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.