
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Mohd Firdaus Ahmad, berkata jumlah itu membabitkan 11,853 pelancong domestik dan 754 pelancong luar negara.
“Pelancong yang datang ke Langkawi menggunakan perkhidmatan kapal terbang sebanyak 8,587 orang, manakala menggunakan perkhidmatan feri adalah sebanyak 4,020,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Terminal Feri Kuala Kedah.
Beliau berkata, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sebelum ini menyasarkan kira-kira 30,000 pelancong akan berkunjung ke Langkawi sepanjang bulan ini, namun sasaran itu dilihat sukar dicapai ekoran SOP ketat dikenakan kepada pelancong.
Bagaimanapun, Firdaus menegaskan ujian pengesanan awal Covid-19 diwajibkan ke atas pelancong adalah penting bagi mengawal penularan wabak itu dalam kalangan mereka yang mengunjungi Langkawi.
“Mungkin sekarang jumlah pelancong merosot sedikit tetapi bulan November dan Disember nanti, kita jangka jumlah pelancong akan meningkat kerana pada masa itu cuti sekolah telah bermula,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Sumber Tani, Pengangkutan dan Industri Utama negeri Azman Nasrudin yang turut hadir pada lawatan berkenaan, berkata jumlah perjalanan feri ke Langkawi di terminal itu akan ditambah sekiranya mendapat permintaan tinggi daripada pelancong.
“Buat masa ini hanya ada dua perjalanan feri sehari iaitu satu perjalanan dari Kuala Kedah ke Pulau Langkawi dan satu perjalanan dari Pulau Langkawi ke Kuala Kedah. Kalau jumlah pelancong ramai nanti kita akan minta kepada Kementerian Pengangkutan untuk penambahan perjalanan feri,” katanya.