
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian, berkata kawasan projek pembangunan jalan raya dan perumahan ditularkan juga adalah sebahagian daripada kawasan yang terbabit dengan penyahwartaan Hutan Simpan Bukit Cherakah oleh kerajaan negeri terdahulu.
“Ia telah dinyahwartakan bagi tujuan pemberimilikan oleh kerajaan negeri pada 2006 melalui PW1443. Justeru, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor pada masa kini tidak lagi mempunyai bidang kuasa khusus dalam aspek pengurusan dan pembangunan di kawasan itu kerana ia bukan berstatus tanah HSK,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata pada 2007, sebahagian daripada kawasan Hutan Simpan Bukit Cherakah yang telah dinyahwartakan, telah diwartakan semula sebagai Hutan Simpan Bukit Cherakah tambahan dengan keluasan lebih kurang 982.80 hektar.
“Kawasan hutan simpan ini juga dikenali sebagai Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA) yang merupakan antara taman rekreasi awam utama di sekitar Shah Alam, daerah Petaling,” katanya.
Hee berkata, dalam aspek penggantian HSK, hanya kerajaan negeri Selangor pada masa kini sahaja yang mengamalkan proses penggantian secara serentak bagi mana-mana kawasan HSK yang ingin dinyahwarta.
“Ini adalah selaras dengan pindaan Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985 yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri pada 2011 iaitu berkaitan keperluan penyiasatan awam bagi cadangan penyahwartaan HSK.
Bagaimanapun, penyahwartaan Hutan Simpan Bukit Cherakah ini telah berlaku sebelum pindaan Enakmen APN 1985 iaitu pada 2006.
“Justeru penggantian kawasan HSK secara serentak didapati tidak diamalkan oleh kerajaan negeri pada masa berkenaan,” katanya.
Jelas Hee, kerajaan negeri akan memastikan segala aktiviti pembangunan di sekitar kawasan itu mematuhi prosedur dan peraturan yang berkuatkuasa pada masa ini.
“Antaranya adalah seperti keperluan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) di bawah Perintah Alam Sekeliling 2015 dan Kelulusan Merancang (KM) di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.
“Selain itu langkah-langkah kawalan pembangunan yang lain seperti pengekalan kawasan hijau dan penyediaan laluan hidupan liar akan turut diambil kira. Keperluan ini adalah bagi menjamin kelestarian alam sekitar terus dipelihara di samping pembangunan sosioekonomi di negeri Selangor dapat diuruskan secara lebih strategik,” katanya.