Sabah terima peruntukan besar untuk pembangunan, kesejahteraan rakyat, kata PM

Sabah terima peruntukan besar untuk pembangunan, kesejahteraan rakyat, kata PM

Anwar Ibrahim turut menyeru rakyat Sabah memilih masa depan yang membawa sinar harapan dan benar-benar bekerja untuk mereka.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan orang ramai dalam satu lawatan di Sabah hari ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Sabah menerima peruntukan yang besar tahun ini bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan dan kesejahteraan rakyat termasuk pendidikan, kesihatan, infrastruktur, peluang ekonomi serta bantuan kos sara hidup.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam satu hantaran di Facebook berkata, negeri itu menerima RM5.87 bilion untuk pendidikan, RM2.49 bilion bagi kesihatan, RM3.69 bilion untuk infrastruktur serta RM162.77 juta bagi pekerjaan dan peluang ekonomi.

Katanya, kerajaan juga menyalurkan peruntukan terbesar untuk Sabah bagi membantu mengurangkan kos sara hidup, menangani isu elektrik dan air, membina hospital, membaiki klinik daif dan menoktahkan kemiskinan tegar, lapor Bernama.

“Pilih masa depan yang membawa sinar harapan dan benar-benar bekerja untuk urang Sabah,” katanya.

Anwar berkata kerajaan turut melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat Sabah melalui program BUDI95, subsidi diesel khas Sabah, Sarawak dan Labuan, selain Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta SARA yang memberi manfaat kepada lebih 842,000 penerima di negeri itu.

Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat pula diterima lebih 68,000 rakyat Sabah dengan peruntukan RM317.92 juta.

Anwar berkata walaupun kuasa kawal selia autonomi elektrik diserahkan kepada kerajaan Sabah, kerajaan Persekutuan tetap meneruskan sokongan melalui kelangsungan bekalan elektrik berjumlah RM1.2 bilion, projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Sabah bernilai RM190 juta, pemasangan panel solar hibrid di kampung-kampung kecil serta pembinaan Southern Link Transmission Line bagi memperkukuh tenaga boleh baharu.

Mengenai isu bersih, beliau berkata projek bekalan air Sabah dijangka siap tahun hadapan dengan kerajaan menyediakan pembiayaan berjumlah RM1 bilion sejak 2024 merangkumi pemasangan paip dan tangki simpanan baharu di Tawau, menaik taraf paip usang di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan serta menaik taraf Kolam Pengoksidaan Inanam.

Menurut perdana menteri, jumlah peruntukan untuk projek air Sabah bagi tempoh 2023 hingga 2026 mencecah RM1.33 bilion.

Selain itu, katanya pembinaan pusat jantung Sabah di Hospital Queen Elizabeth II bernilai RM125 juta sedang berjalan, sementara usaha menaik taraf klinik daif di Sabah mencapai 70% kemajuan melibatkan 48 klinik dengan peruntukan RM800 juta di bawah Belanjawan 2025.

Tambahnya, Sabah turut menerima manfaat besar menerusi projek membaik pulih sekolah daif, melibatkan 230 projek yang siap sepenuhnya sebagai sebahagian daripada peruntukan Persekutuan untuk menangani isu sekolah dan klinik daif di Sabah dan Sarawak.

Anwar berkata terdapat pencapaian ketara dalam usaha membasmi kemiskinan tegar di Sabah apabila jumlah Ketua Isi Rumah (KIR) dalam kategori itu menurun daripada 23,651 pada Februari 2024 kepada hanya empat KIR pada Oktober 2025.

Katanya penurunan besar itu adalah hasil pelaksanaan program berfokus seperti Sejati Madani, bantuan bersasar, penstrukturan semula data dan intervensi di peringkat kampung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.