Perjanjian bekalan kuasa dengan Sarawak pasti kejutkan rakyat Sabah, kata wakil rakyat DAP

Perjanjian bekalan kuasa dengan Sarawak pasti kejutkan rakyat Sabah, kata wakil rakyat DAP

Ahli Dewan Undangan Negeri Luyang Phoong Jin Zhe, menyifatkan perjanjian pertukaran kuasa (PEA) dengan Sarawak 'berat sebelah'.

Shafie Apdal dan Phoong Jin Zhe mempertikai perjanjian bekalan kuasa dengan Sarawak, yang dianggap mampu menjejaskan rakyat Sabah.
KOTA KINABALU:
Perjanjian bekalan kuasa ditandatangani antara kerajaan negeri dengan Sarawak pada Ogos lalu, merugikan Sabah, dakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang.

ADUN Luyang dari DAP, Phoong Jin Zhe, berpandangan perjanjian pertukaran kuasa (PEA) ditandatangani antara dua negeri berkenaan, yang memerlukan Sabah membeli kuasa daripada negeri jirannya itu mungkin “berat sebelah”.

Phoong berkata, beliau dan beberapa wakil pembangkang termasuk bekas Ketua Menteri Shafie Apdal, sudah mengemukakan isu itu kepada Timbalan Ketua Menteri Bung Mokhtar Radin, dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.

Bung yang juga Menteri Kerja Raya negeri dalam jawapan bertulis, berkata Sabah dijangka membeli elektrik pada harga 28.5 sen perjam kilowatt (kWh), mengikut PEA.

“Dan kita akan menanggung kadar kenaikan tahunan sebanyak 1.5%,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

“Pada tahun ke-15, 2038, kita perlu membeli kuasa pada tarif 35.6 sen kWh. Jadi, adalah penting untuk meneliti perkara ini dan mempertimbangkan sama ada perjanjian berkenaan berbaloi.

“Sekiranya, kita membeli kuasa pada tarif tinggi, berapa caj yang akan dikenakan kepada rakyat? Adakah rakyat Sabah perlu menanggung tarif elektrik tinggi?” soalnya, sambil menyatakan Sabah perlu membayar lebih RM1.1 bilion, menjelang penghujung perjanjian itu.

Sabah memeterai perjanjian bersama Sarawak dengan harapan ia mampu menangani bekalan elektrik tidak stabil di negeri berkenaan.

Syarikat utiliti milik Sabah, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) memasuki perjanjian itu dengan anak syarikat Sarawak Energy Berhad (SEB), Syarikat Sesco Bhd.

Soalan Phoong antara beberapa yang dikemukakan ADUN dalam sesi soal-jawab pada persidangan sebelah pagi namun tidak dibaca disebabkan masa tidak mencukupi akibat sesi dihadkan sejam sahaja.

Bagaimanapun, wakil rakyat masih mendapat jawapan bertulis daripada menteri berkaitan.

Phoong dalam celahannya ketika sesi penggulungan ucapan oleh Bung, menyuarakan kebimbangan Sabah akan membeli elektrik pada kadar tinggi daripada biasa dari Sarawak.

Bagaimanapun, katanya, Bung memaklumkan tidak wajar untuknya memberi penjelasan kerana tidak mempunyai butiran perjanjian itu.

Bung yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, berkata beliau akan meminta pengerusi SESB memberi penjelasan kepadanya mengenai perjanjian berkenaan.

Dalam pada itu, Shafie berkata, adalah tidak dapat diterima sekiranya SESB tidak melaporkan kandungan perjanjian itu kepada Bung.

“Perkara ini membabitkan setiap seorang daripada kita dan kita mesti perbetulkannya sekiranya SESB tidak melaporkan kepada menteri atau kerajaan negeri secara keseluruhannya,” kata Presiden Warisan itu.

Bung membalas beliau mengambil perhatian isu berkenaan dan akan memberi jawapan balas dalam persidangan DUN akan datang.

Phoong berkata, cadangan awal untuk membeli kuasa dari Sarawak dibuat ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah, namun tawaran dikemukakan Sarawak terlalu tinggi, sekaligus tiada perjanjian dimuktamadkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.