
Noor Neelofa yang juga usahawan terkenal tiba di pekarangan mahkamah bersama Muhammad Haris Mohd Ismail pada 8.40 pagi tadi, menurut laporan Harian Metro.
Turut kelihatan, peguam Muhammad Shafee Abdullah.
Pada 20 Mei lalu, pasangan itu mengaku tidak bersalah melanggar SOP perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) ketika didakwa di mahkamah terbabit.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu ketika berada di sebuah premis menjual permaidani di Nilai 3 di sini, 2 Mei lalu.
Noor Neelofa kemudian dikenakan jaminan sebanyak RM5,000 oleh mahkamah bagi pertuduhan gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk atau menulis secara manual.
Muhammad Haris pula dikenakan jaminan sebanyak RM10,000 atas dua pertuduhan, iaitu gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk atau menulis secara manual dan tidak memakai pelitup muka di tempat awam.
Mereka dituduh di bawah Peraturan 19, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.