
MMA menegaskan ini akan menyebabkan golongan terbabit tawar hati untuk menerima vaksin.
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin sebelum ini memaklumkan di Parlimen bahawa tindakan melaporkan golongan itu adalah antara prosedur operasi standard (SOP) yang diputuskan Kabinet untuk program vaksinasi pendatang tanpa dokumen.
Dalam kenyataan, Presiden MMA Dr Koh Kar Chai berkata, SOP itu pasti akan menyukarkan usaha vaksinasi.
“Kami kecewa dengan kenyataan menteri dalam negeri bahawa kerajaan mahu pekerja penjagaan kesihatan memaklumkan kepada anggota keselamatan sekiranya pendatang tanpa dokumen hadir di kemudahan kesihatan dan pusat pemberian vaksin.
“Individu yang belum didaftarkan dengan MySejahtera perlu melalui proses dokumentasi untuk membolehkan mereka didaftar.
“Bagaimanapun, mengatakan bahawa petugas kesihatan perlu memaklumkan kepada anggota keselamatan mengenai pendatang tanpa dokumen di pusat kesihatan dan pemberian vaksin akan memberi mesej salah kepada golongan itu yang masih belum disuntik vaksin.”
Katanya, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin ketika menjadi menteri penyelaras program vaksinasi mengatakan garis panduan Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) telah diluluskan untuk menggalakkan pendatang tanpa dokumen tampil menerima vaksin.
Koh berkata, Khairy menegaskan bahawa garis panduan diwujudkan antara lain berdasarkan prinsip “tiada siapa selamat melainkan semua orang selamat”.
“Garis panduan itu dilaksanakan dengan mengambil kira pelbagai undang-undang yang berkuat kuasa ketika itu.”