Dah 13 kali pindah wang, baru perasan ditipu

Dah 13 kali pindah wang, baru perasan ditipu

Ahli perniagaan rugi lebih RM12,000 ditipu syarikat pinjaman wang tidak wujud.

Menurut polis, seorang wanita berusia 21 tahun mendakwa menemui maklumat mengenai syarikat itu ketika melayari internet.
KUANTAN:
Seorang ahli perniagaan kerugian RM12,930 apabila diperdaya dengan taktik yang digunakan syarikat pinjaman wang tidak berlesen menawarkan pinjaman mudah di internet selepas 13 kali melakukan pemindahan wang ke nombor akaun diberi.

Mangsa, seorang wanita berusia 21 tahun, mendakwa menemui maklumat mengenai syarikat itu ketika melayari internet di kediamannya di Bandar Jengka, dekat Maran, pada 19 September lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa menghubungi kakitangan syarikat berkenaan dikenali sebagai “Miss Anie” untuk menyatakan hasratnya untuk membuat pinjaman berjumlah RM10,000.

“Suspek memaklumkan permohonan mangsa diluluskan dan meminta mangsa menghantar maklumat peribadi bagi tujuan pemprosesan pinjaman itu.

“Mangsa kemudiannya diminta membuat pembayaran bagi mempercepatkan proses kelulusan pinjaman dan suspek meminta mangsa memindahkan wang ke nombor akaun diberikan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Mohd Wazir berkata, mangsa membuat 13 kali transaksi pemindahan wang ke enam akaun diberikan suspek dengan jumlah keseluruhan RM13,930.

“Mangsa yang merasakan dirinya menjadi mangsa penipuan dan bimbang maklumat peribadinya disalahguna syarikat berkenaan, tampil membuat laporan polis pagi semalam di Balai Polis Sungai Jerik, Maran,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang guru berusia 33 tahun mendakwa menjadi mangsa penipuan sindiket “parcel scam” selepas dihubungi kenalan dari media sosial Facebook melalui aplikasi Messenger pada Rabu lalu.

Katanya, suspek mendakwa menetap di London dan mengirimkan bungkusan mengandungi barangan kenangan kepada mangsa sebagai tanda persahabatan.

“Pada jam 9 pagi semalam, mangsa menerima pesanan melalui aplikasi WhatsApp daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai wakil syarikat penghantaran dan memaklumkan bungkusan itu sudah sampai di pejabat Kastam Kuala Lumpur.

“Mangsa kemudiannya membuat dua kali pindahan wang berjumlah RM2,000 ke akaun diberikan lelaki berkenaan bagi urusan cukai dan pemeriksaan Covid-19,” katanya.

Mangsa menyedari ditipu selepas lelaki terbabit terus mengarahkan mangsa membuat pindahan wang untuk mendapatkan bungkusan berkenaan membuat laporan polis di Balai Polis Jengka, Maran malam tadi.

Wazir berkata, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.