Akibat selisih faham, lelaki maut dipukul kawan baik

Akibat selisih faham, lelaki maut dipukul kawan baik

Mangsa yang ditemui pengguna jalan raya bersebelahan motosikalnya itu pada mulanya disangka mengalami kemalangan jalan raya.

Mayat mangsa menunjukkan kesan kecederaan lebam di dahi sebelah kiri dan luka di belakang telinganya, kata Ketua Polis Daerah Timur Laut Soffian Santong. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia dengan kesan kecederaan dan lebam dipercayai selepas dipukul rakannya akibat perselisihan faham di hadapan sebuah kedai runcit di Changkat Minden Height, Gelugor hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Soffian Santong berkata pihak polis mulanya menerima panggilan kecemasan yang memaklumkan berlaku kemalangan jalan raya sehingga menyebabkan seorang penunggang motosikal maut pada 2.30 petang.

“Pegawai penyiasat trafik yang ke lokasi kejadian telah membuat pemeriksaan awal di situ dan mendapati tiada unsur berlaku kemalangan seperti yang dimaklumkan kepada pihak polis.

“Namun beliau percaya telah berlaku kes jenayah sehingga menyebabkan seorang lelaki berusia 52 tahun meninggal dunia.

“Lelaki yang ditemui bersebelahan dengan motosikalnya itu dipercayai dipukul kerana terdapat kesan kecederaan lebam di dahi sebelah kiri dan luka di belakang telinganya,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Beliau berkata seorang saksi kemudiannya memberitahu bahawa lelaki itu dipukul rakannya kerana mereka bergaduh berikutan perselisihan faham selepas si mati mengeluarkan kata-kata kesat terhadap suspek.

Soffian berkata menurut saksi, lelaki itu jatuh terbaring di sebelah motosikalnya di tepi jalan raya di situ dan beberapa pengguna jalan raya yang melihat kejadian memberikan bantuan awal termasuk mengalihkan lelaki itu ke kedai runcit berhampiran.

Katanya polis sedang memburu seorang suspek lelaki berusia 42 tahun yang telah dikenal pasti, yang bertindak melarikan diri.

“Berdasarkan siasatan, dua buruh itu merupakan kawan baik dan mereka selalu berada di kawasan itu untuk melepak dan minum bersama.

“Suspek dipercayai bertindak sedemikian kerana marahkan lelaki itu yang mengeluarkan kata-kata tidak elok dan kesat kepadanya,” katanya.

Beliau berkata mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat dan setakat ini polis mengklasifikasikan kes itu sebagai bunuh, disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.