
Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, Taliban sepatutnya mengamalkan demokrasi, membenarkan kebebasan bersuara dan beragama, serta memastikan keadilan sosial, termasuk terhadap wanita.
Beliau berkata, Kementerian Luar perlu menunggu sekurang-kurangnya enam bulan sebelum membuat sebarang keputusan mengenai pengiktirafan kerajaan Taliban.
“Jika dalam tempoh enam bulan kerajaan Taliban memenuhi piawaian kebebasan dan demokrasi sejagat, barulah kita iktiraf mereka,” kata beliau kepada FMT.

Pengiktirafan kerajaan Taliban dibangkitkan di Dewan Rakyat oleh beberapa Ahli Parlimen yang menyatakan kebimbangan bahawa PAS tidak hanya mengalu-alukan kerajaan Taliban tetapi juga mempertahankannya. Ahli Parlimen itu mendesak Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya menjelaskan pendirian Malaysia terhadap Taliban dan adakah kerajaan menyokong pandangan PAS.
Ahli akademik Azmi Hassan memberitahu FMT, buat masa ini tidak disarankan untuk mengiktiraf kerajaan Taliban.
“Kementerian Luar sepatutnya hanya menerima kerajaan itu sekiranya rakyat Afghanistan menerima kerajaan mereka. Tetapi nampaknya Taliban kembali kepada cara lama mereka dan hanya mendidik anak-anak lelaki,” kata beliau.
Azmi berpendapat kerajaan Taliban tidak akan mengubah cara mereka dan cenderung mempertahankan undang-undang yang tegas mengenai demokrasi serta kebebasan bersuara. Ini kerana “pemimpin masa kini sama seperti sebelumnya”.

Dengan menyaksikan banyak laporan berita mengenai hak dan kebebasan wanita yang disekat oleh Taliban, Azmi berkata Putrajaya tidak seharusnya mengiktiraf kerajaan itu sehingga dan sekiranya Taliban mengubah cara mereka.
Mengenai sokongan PAS terhadap Taliban, Azmi berkata, ia mungkin “memakan diri” seperti yang dilihat di media sosial yang menyaksikan warganet mengkritik parti Islam itu kerana menyokong Taliban.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang dilaporkan mempertahankan Taliban dengan berkata, mereka telah berubah dan ini dapat dilihat dalam langkahnya memberi pengampunan kepada mereka yang sebelumnya bekerja dengan Amerika Syarikat.
Hadi meminta rakyat Malaysia tidak mempercayai media Barat dan tempatan yang “bertindak sebagai alat dan memfokuskan pada aspek negatif” Taliban.
Dalam satu berita terbaru, AP melaporkan perbandaran Kabul yang dikendalikan oleh Taliban telah meminta wanita tinggal di rumah dan memberitahu pelajar perempuan untuk tidak kembali ke sekolah buat masa ini. Namun, menurut laporan itu, kanak-kanak lelaki boleh kembali ke sekolah.