
Peguam Kanan Persekutuan Erma Wani Ahmad Keflee berkata, Hakim Mahkamah Tinggi Rozana Ali Yusoff menetapkan tarikh itu selepas prosiding dalam talian, hari ini.
Peguam Mohaji Selamat yang mewakili plaintif, Mohd Hatta Sanuri, tidak membantah permohonan untuk lanjutan masa itu.
Erma berkata mahkamah turut menetapkan satu lagi tarikh sebutan kes pada 29 Oktober.
Hatta, memfailkan saman itu pada 28 Mei dengan menamakan Perdana Menteri dan kerajaan sebagai defendan.
Kerajaan pada awal bulan ini memfailkan permohonan untuk diberikan lebih masa bagi mengemukakan pembelaannya selepas menerima writ dan pernyataan tuntutan daripada peguam Hatta.
Dalam pernyataan tuntutannya, Hatta mendakwa kerajaan tidak memberi penjelasan sehingga hari ini kenapa ia telah menarik balik permohonan berkenaan walaupun ada bukti baharu yang memihak kepada Malaysia berhubung kedaulatan terhadap pulau yang saiznya separuh padang bola sepak.
Beliau antara lain menuntut penjelasan daripada defendan, selain deklarasi bahawa mereka cuai serta melanggar kepercayaan diberikan oleh rakyat.
Hatta menuntut pampasan minimum RM10 juta kepada setiap rakyat Malaysia atas kehilangan pulau itu, yang turut dikenali sebagai Pedra Branca.
Pada Februari 2017 ketika pentadbiran kerajaan BN pimpinan Najib Razak, Peguam Negara Mohamed Apandi Ali, memfailkan permohonan semakan susulan penemuan “fakta baharu.”
Selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum pada Mei 2018, bagaimanapun, Dr Mahathir Mohamad yang kembali menerajui sebagai Perdana Menteri, menarik balik permohonan itu.
Pada Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Hague, Belanda, dalam keputusan majoriti 12-4 memutuskan Singapura mempunyai kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh.