Proses permohonan ekstradisi Sajat masih berjalan, kata Bukit Aman

Proses permohonan ekstradisi Sajat masih berjalan, kata Bukit Aman

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan berkata proses ekstradisi usahawan kosmetik itu melibatkan Jabatan Peguam Negara selain pihak berkuasa Thailand.

Nur Sajat dikehendaki di negara ini atas beberapa kesalahan jenayah antaranya menggunakan kekerasan jenayah untuk menakutkan dan menghalang penjawat awam menjalankan kewajipan selain kes penipuan pertukaran nama dan jantina. (Gambar Instagram)
PETALING JAYA:
Proses permohonan ekstradisi usahawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamarul Zaman atau dikenali sebagai Nur Sajat masih berjalan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Abd Jalil Hassan berkata, proses melibatkan Jabatan Peguam Negara selain pihak berkuasa Thailand masih dipergiat.

“Ya ia masih berjalan dan permohonan itu merupakan sebahagian daripada prosesnya,” katanya menurut laporan Bernama.

Beliau mengulas dakwaan pihak berkuasa Thailand kononnya ia tidak menerima sebarang permohonan ekstradisi Muhammad Sajjad, 36, yang kini ditahan pihak imigresen Thailand kerana memiliki pasport tidak sah.

Muhammad Sajjad dikehendaki di negara ini atas beberapa kesalahan jenayah, antaranya menggunakan kekerasan jenayah untuk menakutkan dan menghalang penjawat awam menjalankan kewajipan selain kes penipuan pertukaran nama dan jantina.

Dia turut dikehendaki selepas waran tangkap dikeluarkan terhadapnya kerana gagal hadir pada sebutan semula pertuduhan berpakaian menyerupai wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.