
“Saya difahamkan menteri kesihatan mengadakan perbincangan baru-baru ini dengan rakan sejawatnya di Singapura melalui telefon, mengenai cadangan membuka semula sempadan Malaysia dan Singapura.
“Kita berdoa dan berharap perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin sebab memang kedua-dua pihak saling memerlukan pembukaan sempadan ini,” katanya dalam ucapan penggulungan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Saifuddin menambah, sekiranya cadangan itu diterima kedua-dua kerajaan, Putrajaya juga boleh mempertimbangkan pembukaan semula sempadan dengan negara lain seperti Thailand.
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) turut menggesa kerajaan menunjukkan empati untuk keluarga dan pasangan yang terpisah sejak wabak tercetus.
Katanya, sistem MyTravelPass Jabatan Imigresen mempunyai terlalu banyak birokrasi dengan menambah ada pasangan mengalami gangguan kesihatan mental malah ada yang di ambang perceraian.
Saifuddin menjawab beliau bersimpati dengan masalah dihadapi pasangan seperti itu, dengan menambah perkara berkenaan telah dibangkitkan dalam mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19 yang dipengerusikan Menteri Kanan Keselamatan Hishammuddin Hussein.
“Saya faham… kerana ada antara mereka telah terpisah dari orang tersayang sejak pandemik bermula. Saya akan lihat bagaimana kita boleh mengatasi masalah ini,” katanya.