
Bahkan ia tidak terhad kepada perkara itu sahaja, usul berkenaan turut menekankan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengadakan pilihan raya kecil segera bagi membolehkan rakyat memilih wakil rakyat baharu.
Bagaimanapun, usul itu yang dikemukakan Charles Hector, memberi pengecualian jika Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu dipecat oleh partinya dan memilih menjadi wakil rakyat bebas.
Namun wakil rakyat berkenaan perlu digugurkan selepas menyertai parti lain yang bertanding melawannya pada pilihan raya.
“SPR perlu mengadakan pilihan raya kecil segera bagi membenarkan rakyat di kawasan terbabit memilih wakil rakyat baharu. Ini perlu dilaksanakan bagi menjamin rakyat menjadi pemenang utama dalam mempertahankan hak mereka untuk memilih.
“Adalah tidak masuk akal wakil rakyat yang dipilih dan hilang sokongan rakyat di kawasannya, namun berterusan mewakili mereka seolah-olah ia masih membawa mandat rakyat kawasannya.
“Mereka juga tidak sepatutnya dilarang bertanding semula dalam pilihan raya kecil di kawasan sama kerana mandat sudah kembali semula kepada pengundi,” katanya.
Usul yang dilihat FMT itu, turut menyatakan calon yang bertanding mewakili partinya, termasuk jika manifesto pilihan raya yang dibuat menjadi faktor utama bagi pengundi untuk mereka memilih wakil rakyat, justeru memerlukan pindaan terhadap Artikel 48 Perlembagaan Persekutuan, untuk dikuatkuasakan.
Usul berkenaan juga mendesak Majlis Peguam melakukan apa-apa sahaja yang perlu bagi memastikan kerajaan meminda peruntukan yang melarang individu daripada terbabit dalam pilihan raya selama lima tahun selepas menamatkan hukuman penjara atau didenda kerana sabit kesalahan di mahkamah.
“Ini bukan sahaja tidak adil, malah menggalakkan diskriminasi terhadap bekas banduan selepas mereka menjalani hukuman,” katanya.
Usul itu juga mendesak Majlis Peguam mencadangkan perubahan dalam Akta Pilihan Raya bagi memperkasa SPR untuk menyiasat dan mendakwa perbuatan yang membabitkan jenayah yang berlaku berhubung pilihan raya.