
Bagaimanapun, persekutuan berkenaan turut mencadangkan syarat itu – yang berkemungkinan membabitkan pemilikan 51% Bumputera dalam syarikat – dilanjutkan sehingga penghujung tahun depan.
Presiden FMFF Alvin Chua, berkata bekas perdana menteri Najib Razak mengumumkan semakan terhadap syarat ekuiti Bumiputera pada 2018 dan beliau menyatakan perkara berkenaan akan dikaji semula pada penghujung 2020. Namun, ini belum dilaksanakan.
Dalam surat mereka yang dihantar kepada kerajaan bulan lalu, Chua berkata, kementerian kewangan menyatakan pada Januari lalu, bahawa semua pemegang lesen broker Kastam wajib mematuhi syarat ekuiti Bumiputera, tetapi tidak menetapkan jumlah khusus.
“Kini sudah masuk ke September 2021 dan garis masa yang perlu dipenuhi berakhir pada 31 Disember ini,” katanya dalam sepucuk surat yang dihantar ke kementerian perdagangan antarabangsa dan industri itu.
Beliau berkata, penangguhan membuat keputusan akhir membabitkan syarat ekuiti berkenaan, yang mana garis masanya semakin berakhir menyebabkan situasi tidak adil terhadap syarikat fret yang mana mereka wajib memperbaharui lesen broker Kastam menjelang akhir tahun.
Katanya, syarikat fret berdepan kesulitan dalam memenuhi syarat 51% bagi tempoh singkat, dan mempersoalkan sama ada adanya pelabur yang sanggup menguasai ekuiti terbabit.
Pendafataran lesen sebelum 1976 tidak tertakluk kepada syarat pemilikan ekuiti Bumiputera, manakala 30% kuota dilaksanakan kepada syarikat yang berdaftar antara 1976 hingga 1990, dan syarat 51% ekuiti Bumiputera untuk mendaftar lesen dibuat selepas 1990.
Tiada syarat pemilikan ekuiti Bumiputera diperlukan bagi lesen yang dipegang penyedia perkhidmatan logistik antarabangsa bersepadu.