RUU Antigangguan Seksual: Kerajaan komited bentang secepat mungkin, kata Rina

RUU Antigangguan Seksual: Kerajaan komited bentang secepat mungkin, kata Rina

Rina Harun berkata, semakan, penambahbaikan dan sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan sedang dilaksanakan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun berkata, terdapat lagi beberapa isu yang memerlukan penelitian mendalam termasuk elemen pencegahan dan tanggungjawab sosial untuk memastikan pencegahan.
PETALING JAYA:
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat komited untuk memastikan Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual dibentang secepat mungkin bagi menangani isu-isu berkaitan gangguan seksual.

Menteri berkenaan Rina Harun berkata bagaimanapun proses ketekunan wajar perlu dilaksanakan dengan teliti dan sememangnya memakan masa.

Beliau berkata pada masa ini proses semakan, penambahbaikan dan sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan sedang giat dilaksanakan sebelum mendapat kelulusan Jemaah Menteri dan seterusnya dibentang di Dewan Rakyat.

“Terdapat lagi beberapa isu dibangkitkan yang memerlukan penelitian mendalam, antaranya elemen pencegahan dan elemen tanggungjawab sosial untuk memastikan pencegahan gangguan seksual dilaksanakan di organisasi berkenaan,” katanya dipetik Bernama, ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, selain itu elemen keselamatan terhadap mangsa yang membuat aduan turut diberi perhatian.

Rina berkata kementerian juga mengambil kira pelbagai bentuk gangguan seksual yang boleh berlaku melalui pelbagai medium komunikasi termasuk secara dalam talian dan siber, yang ketika ini ditangani melalui Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 (Akta 588).

Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual digubal untuk menambah baik sistem keadilan sedia ada menerusi penubuhan tribunal khusus bagi mengendalikan aduan gangguan seksual dengan cepat menggunakan standard pembuktian imbangan kebarangkalian dan pemberian pampasan atau ganti rugi kepada mangsa, katanya.

Beliau berkata draf Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual yang digubal secara kolektif menerusi sebuah pasukan projek khas berhasrat menangani isu-isu gangguan seksual termasuk standard pembuktian yang tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.