Pesara tentera rugi RM16,000 kena ‘scam’ anak saudara

Pesara tentera rugi RM16,000 kena ‘scam’ anak saudara

Polis berkata kejadian bermula 6 Julai lalu selepas mangsa dihubungi seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai pegawai polis bernama 'ASP Prakash'.

Menurut polis mangsa mengarahkan isterinya membuat empat transaksi pemindahan wang berjumlah RM16,000 kepada ‘ASP Prakash’ melalui nombor akaun bank milik individu lain.
KUANTAN:
Seorang pesara tentera mendakwa kerugian RM16,000 selepas menjadi mangsa penipuan anak saudaranya dan seorang lelaki dipercayai menyamar sebagai pegawai polis, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Mohd Wazir Mohd Yusof.

Beliau berkata, kejadian bermula 6 Julai lalu selepas mangsa dihubungi seorang lelaki melalui aplikasi WhatsApp memperkenalkan diri sebagai pegawai polis bernama “ASP Prakash”.

Katanya, suspek kemudiannya mengarahkan mangsa berurusan dengan seorang lelaki yang juga anak saudara mangsa bernama “Nuar” untuk membebaskan anak mangsa yang ditahan polis.

“Suspek terbabit memperkenalkan diri sebagai pegawai polis iaitu ‘ASP Prakash’ dan membuat tawaran untuk membebaskan anak lelaki mangsa yang ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut atas kesalahan dadah melibatkan kes Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK).

“Suspek meminta mangsa berurusan dengan anak saudara mangsa yang kemudiannya meminta mangsa menyediakan sejumlah wang bagi urusan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Wazir berkata, mangsa kemudian mengarahkan isterinya membuat empat transaksi pemindahan wang berjumlah RM16,000 kepada “ASP Prakash” melalui nombor akaun bank milik individu lain.

“Bagamanapun selepas selesai melakukan pemindahan wang itu, mangsa menerima panggilan daripada pihak Narkotik IPD Jerantut dan memaklumkan anaknya akan dihantar ke Penjara Simpang Renggam, Johor.

“Mangsa yang terkejut kerana sudah membuat bayaran untuk melepaskan anaknya. Tidak berpuas hati dengan kejadian itu, mangsa meminta anak saudaranya memulangkan semula wang terbabit, namun ‘Nuar’ gagal berbuat demikian.

“Pesara tentera berkenaan yang mengesyaki anak saudaranya bersubahat dengan ‘ASP Prakash’ tampil membuat laporan polis semalam untuk tindakan lanjut,” katanya yang menambah kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.