
“Untuk makluman, seramai 18 tertuduh telah dituduh di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh dan perbicaraan masih berjalan sehingga 23 September, esok hari,” kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin.
“Dua tertuduh juga telah dituduh di bawah Seksyen 427 iaitu khianat dan telah dikenakan hukuman denda sebanyak RM7,000 setiap seorang.”
Hamzah yang menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer turut berkata, 12 lagi suspek yang ditahan berkaitan dengan kes itu, sudah dirujuk polis ke Pejabat Peguam Negara untuk arahan selanjutnya.
Rayer sebelum ini meminta penjelasan daripada Hamzah, mengapa sehingga kini tiada tindakan diambil terhadap suspek yang dikaitkan dengan kematian Adib.
Adib meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), sebulan selepas mengalami kecederaan ketika bertugas di lokasi kejadian susulan rusuhan di luar Kuil Seafield Sri Maha Mariamman, di Subang Jaya, pada November 2018.
Pada 2019, Mahkamah Koroner memutuskan punca kepada kematian anggota bomba terbabit akibat daripada perbuatan “dua atau lebih individu yang tidak dikenal pasti”.
Pada Disember, Hamzah berkata, siasatan berada pada peringkat akhir dan keputusannya akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.