Negara berjaya capai 80% populasi dewasa lengkap vaksin

Negara berjaya capai 80% populasi dewasa lengkap vaksin

Walaupun Kementerian Kesihatan (KKM) tidak lagi menggunakan istilah ‘imuniti kelompok’, nilai berkenaan telah lama disebut-sebut sebagai penanda bagi pencapaian Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Lebih 500,000 dos vaksin diberikan semasa kemuncak PICK pada pertengahan tahun ini.
PETALING JAYA:
Malaysia, kita sudah berjaya.

Setakat semalam, 80% populasi dewasa di negara ini telah lengkap vaksinasi Covid-19.

Walaupun Kementerian Kesihatan (KKM) tidak lagi menggunakan istilah “imuniti kelompok” untuk mengiktiraf virus itu sebagai endemik, nilai berkenaan telah lama disebut-sebut sebagai penanda bagi pencapaian Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Sempena pencapaian itu, FMT mengimbau peristiwa-peristiwa penting selama PICK berjalan.

Pada 27 Nov tahun lalu, perdana menteri ketika itu, Muhyiddin Yassin mengumumkan perolehan 12.8 juta dos vaksin Pfizer, menjadikan Malaysia negara pertama di Asia Tenggara memeterai perjanjian dengan pengeluar ubat-ubatan Amerika Syarikat berkenaan.

Kurang sebulan kemudian, Malaysia membuat perjanjian dengan AstraZeneca yang berpangkalan di United Kingdom untuk mendapatkan 6.4 juta dos vaksinnya, yang seperti Pfizer, menunjukkan hasil awal yang memberangsangkan dalam ujian klinikal.

Ini adalah antara perjanjian awal yang dimeterai untuk memastikan negara memperoleh dos vaksin yang mencukupi untuk keseluruhan populasi.

Pada 24 Feb, Muhyiddin menjadi penerima vaksin Covid-19 pertama di negara ini. Suntikan yang diterimanya disiarkan secara langsung di TV bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap keselamatan vaksin.

Dengan itu bermulalah fasa pertama PICK yang menyaksikan petugas barisan hadapan seperti kakitangan kesihatan, anggota polis dan tentera serta ahli politik diberi vaksin terlebih dahulu.

Menjelang awal Mac, lebih 80,000 rakyat Malaysia menerima dos pertama dan lebih sejuta mendaftar untuk mendapatkan vaksin melalui aplikasi MySejahtera.

Bagaimanapun perjalanan PICK perlahan pada bulan-bulan awal pelaksanaannya. Menjelang pertengahan Mei, hanya 3% populasi menerima suntikan vaksin, walaupun hampir satu pertiga telah mendaftar.

Khairy Jamaluddin, yang ketika itu menjadi menteri penyelaras PICK, mengaitkan masalah-masalah awal ini dengan isu bekalan, dengan berkata, syarikat-syarikat farmaseutikal memberi keutamaan kepada negara-negara kaya dengan mengorbankan yang lain.

“Ia seperti adegan dalam (filem) Titanic dengan penumpang kelas bawahan masih menunggu bot penyelamat, sedangkan mereka di kabin atas telah pun naik,” katanya.

Rakyat begitu terdesak sehinggakan ketika suntikan vaksin AstraZeneca ditawarkan atas dasar “siapa cepat, dia dapat”, semua 268,000 dos direbut dalam tempoh tiga jam di Lembah Klang sahaja, walaupun di Eropah timbul kekhuatiran mengenai kemungkinan kesan sampingan darah beku akibat vaksin itu.

Vaksin, penipuan, video tular

Di samping itu, pelaksanaan PICK turut terkesan oleh penyebaran maklumat salah dan ketidakpercayaan yang menyebabkan Khairy terpaksa bertindak membanterasnya di seluruh negara.

Pertama, vaksin palsu dijual di platform e-dagang yang mendorong kerajaan mengeluarkan amaran mengenainya memandangkan kerajaan sendiri mengagihkan vaksin yang disahkan ketulenannya dan secara percuma pula.

Dengan vaksinasi berjalan perlahan di Pulau Pinang, Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengadakan sidang media pada Mei dengan menuduh kerajaan persekutuan menyekat sumbangan dua juta dos vaksin Sinovac kepada negeri itu oleh seorang individu bernama Yong Chee Kong, yang mengaku mewakili Xintai Development Enterprise, sebuah syarikat yang berpangkalan di Hong Kong.

Beberapa hari kemudian, Khairy menyifatkan tawaran itu sebagai “penipuan” dan “palsu”, dengan berkata, kerajaan tidak dapat mengesahkan identiti Yong atau menemui bukti bahawa syarikat yang didakwa diwakilinya wujud.

Katanya, beliau dengan senang hati akan mempercepatkan proses itu jika sumbangan tersebut sahih.

Pada Julai, rakyat mulai bimbang apabila tersebar video menunjukkan seorang jururawat di Kedah memberi suntikan “kosong” kepada seorang penerima vaksin.

Walaupun menyifatkan kejadian berkenaan sebagai sesuatu yang berlaku hanya sekali, Khairy kemudiannya menggalakkan penerima untuk merakam video proses vaksinasi mereka jika bimbang ia berulang.

Mulai Jun, dengan isu-isu berkait bekalan kebanyakannya selesai dan penghantaran vaksin mula berjalan lancar, kadar vaksinasi Malaysia makin meningkat, sehingga menjadi antara yang terbaik di dunia.

Menjelang Julai, kadar vaksinasi negara adalah keempat tertinggi di dunia dengan 7.3% populasi diberi vaksin pada minggu kedua bulan itu.

Ini memuncak pada 28 Julai, apabila 579,774 dos diberikan di seluruh negara dengan lebih 400,000 suntikan sehari diberi hampir sepanjang bulan Ogos.

Kadar itu mulai menurun kebelakangan ini, namun dengan sebilangan besar penduduk negara telah menerima vaksin, masih terdapat lebih 200,000 dos diberikan setiap hari.

Tiada yang ketinggalan

Kini dengan 80% populasi lengkap vaksinasi, kerajaan maju dengan langkah selanjutnya, iaitu suntikan penggalak dan vaksinasi buat remaja.

Khairy mengumumkan pada Isnin bahawa beliau menyasarkan 80% populasi remaja diberi vaksin menjelang Mac tahun depan.

Mengenai suntikan ketiga atau dos penggalak, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad mengumumkan bahawa suntikan akan ditawarkan setelah negara mencapai tahap 80% vaksinasi bermula dengan kumpulan berisiko tinggi seperti petugas barisan hadapan perubatan dan warga emas yang menghidap penyakit komorbiditi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.