Kerajaan kaji cukai bagi syarikat jana keuntungan luar biasa ketika Covid-19

Kerajaan kaji cukai bagi syarikat jana keuntungan luar biasa ketika Covid-19

Ini termasuk mengenakan cukai ke atas keuntungan hasil pelaburan saham dan kadar cukai lebih tinggi secara "one-off", kata Timbalan Menteri Kewangan Yamani Hafez.

Timbalan Menteri Kewangan Yamani Hafez berkata, hasil tambahan daripada cukai akan digunakan untuk membiayai aktiviti atau program pemulihan khusus membantu golongan sasar. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan sedang mengkaji untuk mengenakan cukai ke atas syarikat yang menjana keuntungan luar biasa semasa pandemik Covid-19.

Timbalan Menteri Kewangan, Yamani Hafez berkata, ini bagi meningkatkan hasil.

“Ini termasuk mengenakan cukai ke atas keuntungan hasil pelaburan saham dan pengenaan kadar cukai lebih tinggi secara “one-off” kepada syarikat-syarikat yang menjana keuntungan luar biasa dalam tempoh pandemik Covid-19.

“Hasil tambahan daripada cukai tersebut akan digunakan untuk membiayai aktiviti-aktiviti atau program pemulihan khusus membantu golongan sasar,” katanya ketika sesi penggulungan Titah Diraja di Dewan Rakyat.

Sebelum ini, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menggesa kerajaan di semua negara mempertimbangkan langkah mengenakan ‘cukai solidariti atau kekayaan’ ke atas golongan kaya.

Ini ditujukan kepada mereka yang berjaya menghasilkan wang yang banyak semasa pandemik Covid-19 dalam usaha untuk mengurangkan jurang ketidaksamarataan.

Setiausaha Agungnya, Antonio Guterres berkata, dunia perlu memastikan dana disalurkan kepada golongan yang paling memerlukan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.