
“Kita akan sedar program yang dilaksanakan dengan bijaksana ini patut membawa manfaat besar dalam jangka pendek dan panjang untuk negara kita,” katanya dalam kenyataan.
Kadir berkata demikian susulan keputusan kerajaan melaksanakan syarat lebih ketat untuk MM2H, termasuk pemohon wajib mempunyai simpanan tetap RM1 juta dalam bank tempatan berbanding RM150,000 untuk pemohon berusia 50 tahun ke atas serta RM300,000 untuk semua yang lain sebelum ini.
Pemohon baharu juga perlu mempunyai pendapatan bulanan luar negara RM40,000 berbanding RM10,000 dahulu serta sekurang-kurangnya memiliki RM1.5 juta aset cair berbanding RM300,000 dan RM500,000 sebelum ini.
Kadir, yang pernah menjadi menteri di bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad dan Abdullah Badawi dari 1996 hingga 2004, berkata, matlamat asal program itu ialah menarik sekurang-kurangnya 70,000 peserta MM2H setiap tahun.
“Bayangkan jika kita mempunyai kira-kira sejuta tetamu MM2H di negara kita dan ‘pusat sehenti’ untuk menjaga serta memastikan mereka gembira.
“Tetamu ini akan membawa berbilion ringgit ke dalam sistem perbankan dan melabur berbilion dalam pasaran hartanah,” katanya sambil menambah mereka akan terus meningkatkan ekonomi negara dengan keluarga, saudara mara dan rakan yang melawat negara ini sebagai pelancong.
Kadir berkata, Kementerian Pelancongan ketika itu yakin dapat mencapai sasaran itu kerana mereka mempunyai rangkaian pejabat pelancongan yang sangat cekap di seluruh dunia dengan rangkaian hubungan sedia ada dengan persatuan dan badan berkaitan.
Kementerian Pelancongan akhirnya dipertanggungjawabkan sebagai kedai sehenti untuk MM2H. Tetapi, pada 15 Sept tahun ini, semua perkara berhubung program itu diserahkan kepada Jabatan Imigresen dan KDN.
Kadir memberi amaran bahawa syarat yang disemak semula itu akan membunuh MM2H dan meminta kerajaan memindahkan program itu kepada Kementerian Pelancongan semula.
Di bawah MM2H, pemohon yang berjaya akan diberikan visa 10 tahun tanpa sebarang syarat berhubung berapa hari yang mereka perlu tinggal di Malaysia setiap tahun.
Selepas dibekukan tahun lalu untuk “dikaji semula dan penambahbaikan lanjut”, KDN pada 11 Ogos lalu mengumumkan ia akan kembali dilaksanakan bulan depan, tetapi dengan 10 perubahan utama, termasuk syarat kewangan yang dinyatakan di atas.
Tempoh maksimum visa kini dikurangkan kepada lima tahun, dengan tempoh tinggal dalam negara sekurang-kurangnya 90 hari (secara keseluruhan) dalam setahun.