Hishammuddin cadang ke China bincang kerjasama 3 hala Australia-UK-AS

Hishammuddin cadang ke China bincang kerjasama 3 hala Australia-UK-AS

Menteri Pertahanan itu bercadang ke China dalam masa terdekat untuk membincangkan AUKUS.

Hishammuddin Hussein berkata, bukan perkara mudah mengimbangkan dua kuasa besar untuk melihat isu kedudukan, kedaulatan dan keselamatan Malaysia di rantau.
KUALA LUMPUR:
Malaysia bercadang mendapatkan pandangan China, khususnya dalam aspek pertahanan berhubung kerjasama tiga hala antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat yang dikenali sebagai AUKUS.

Menteri Kanan Keselamatan, Hishammuddin Hussein berkata, pihaknya bercadang ke China dalam masa terdekat untuk membincangkan perkara itu.

“Kita perlu dapat pandangan kepemimpinan, khususnya pertahanan China. Apa pandangan mereka terhadap AUKUS yang diumumkan tiga negara itu dan apa agaknya tindakan mereka susulan itu.

“Kita akan cuba menelitinya, namun ia bukan perkara mudah bagi mengimbangi dua kuasa besar untuk melihat kedudukan kedaulatan keselamatan kita di rantau ini dapat dipertahankan,” katanya pada sesi penggulungan Titah Diraja di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, Menteri Pertahanan Australia, Peter Dutton menghubunginya dua hari lalu berhubung AUKUS dan Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA).

“Saya mengadakan perbualan telefon dengan Menteri Pertahanan Australia dan turut menasihati beliau, selain mendekati Malaysia, adalah penting untuk mendekati Brunei sebagai pengerusi ASEAN.”

Terdahulu, Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) bertanya kepada Hishammuddin mengenai perkembangan terbaru AUKUS dan kesannya kepada Malaysia.

Beliau ingin tahu adakah Malaysia akan turut serta dalam AUKUS memandangkan kita bersama Australia dan UK terbabit dalam FPDA.

Pada 18 Sept lalu, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob menyuarakan kegusaran terhadap AUKUS kerana kerjasama itu akan memangkin saingan persenjataan nuklear di rantau Indo-Pasifik.

AUKUS adalah perjanjian keselamatan tiga hala, dengan AS dan UK akan membantu Australia membangun serta mengatur kedudukan kapal selam berkuasa nuklear ke wilayah Pasifik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.