
Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Toran berkata, mahkamah tidak boleh bertindak sedemikian tanpa mendengar kesemua bukti yang dikemukakan oleh saksi.
“Pihak pembelaan mengemukakan isu kekebalan bagi mencabar keputusan pendakwaan untuk memfailkan pertuduhan ke atas tertuduh,” katanya dalam penghujahan penutup bagi kes berkenaan.
Beliau berkata, mahkamah juga tidak boleh mempersoalkan budi bicara pendakwa raya seperti diperuntukkan mengikut Perlembagaan Persekutuan dalam mengenakan tuduhan terhadap tertuduh.
Raja Rozela berkata, pembelaan boleh memfailkan semakan kehakiman di mahkamah sivil bagi menyatakan tertuduh menikmati kekebalan, namun mereka tidak berbuat demikian.
“Sebaliknya mereka menunggu sehingga pihak pendakwaan menutup kes dengan (pembelaan) mengemukakan isu kekebalan,” katanya sambil menambah pembelaan tidak menyatakan bantahan ketika Zahid dikenakan pertuduhan pertama di Mahkamah Sesyen, pada awal 2019.
Kini, pembelaan mengambil pendirian Zahid adalah kebal daripada pendakwaan atas alasan tertuduh secara jujur mendedahkan semua transaksi berhubung Yayasan Akalbudi yang dikendalikan keluarganya.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merakamkan keterangan Zahid dan beliau memberi perincian membabitkan penubuhan yayasan berkenaan dan sumber dananya, termasuk mengemukakan butir peribadi berserta ahli keluarganya.
Zahid berdepan 47 pendakwaan penggubahan wang haram dan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan dana daripada Yayasan Akalbudi, selain menerima rasuah daripada pelbagai projek ketika menjawat jawatan sebagai menteri dalam negeri.
Peguam Zahid, Hisyam Teh memberitahu mahkamah pada 6 Sept bahawa Seksyen 30(7) Akta SPRM boleh diguna pakai dalam kes Zahid ketika pihak berkuasa mengambil keterangannya pada Julai 2018.
Peruntukan itu, yang dipinda pada 1 Okt 2018, menyatakan mana-mana pihak yang mendedahkan maklumat atau mengemukakan mana-mana dokumen kepada pihak berkuasa tidak akan dikenakan tindakan jenayah.
Raja Rozela berkata, pembelaan mengemukakan bacaan langsung terhadap peruntukan itu dan sekiranya ia diterima, ia akan menjurus kepada tindakan tidak masuk akal, selain bertentangan dengan hasrat Parlimen ketika melulusakan undang-undang terbabit.
Beliau berkata, Seksyen 30(7) berkehendakkan mana-mana individu menjawab soalan yang dikemukakan oleh pegawai penyiasat SPRM atau boleh dikenakan tindakan sekiranya individu berkenaan berbohong.
Raja Rozela berkata, peruntukan itu jika diguna pakai, sebagai contoh, terhadap penjawat awam yang mempunyai maklumat dalam amalan penipuan yang terdapat dalam dokumen sulit.
“Penjawat awam itu boleh diberikan kekebalan daripada pendakwaan mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana beliau tidak diberi kuasa melihat dokumen sulit,” katanya.
Raja Rozela berkata, pegawai penyiasat SPRM sudah mengambil kira semua maklumat dan pernyataan diberikan saksi, sebelum mengemukakan tuduhan terhadap tertuduh.
“Tertuduh tidak boleh dikecualikan daripada pendakwaan hanya kerana beliau memberi maklumat. Pihak lain selesai memberi keterangan untuk menyabitkannya (Ahmad Zahid),” katanya.
Raja Rozela berkata, sekiranya peruntukan itu diterima untuk mengumpul maklumat semata-mata, ini bermakna peranan SPRM dalam memerangi rasuah akan lumpuh.
“SPRM akan dianggap tidak berguna dan tidak kompeten kerana kuasa mereka hanya terhad untuk mengumpul maklumat membabitkan amalan rasuah, namun tidak berkemampuan bertindak lebih lanjut,” katanya.
Raja Rozela menambah, SPRM dan pihak pendakwaan tidak mengelirukan tertuduh bahawa beliau tidak akan dikenakan pertuduhan.
Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah ditangguhkan sehingga 4 Oktober ini.