Bukit Aman siasat dakwaan individu bantu Sajat lolos ke Thailand

Bukit Aman siasat dakwaan individu bantu Sajat lolos ke Thailand

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan berkata pihaknya berusaha bersama Kementerian Luar dan pejabat Peguam Negara untuk proses mengekstradisi usahawan kosmetik itu.

Muhammad Sajjad diburu pihak berkuasa Malaysia selepas waran tangkap terhadapnya dikeluarkan kerana gagal hadir pada sebutan semula pertuduhan berpakaian menyerupai wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam. (Gambar Bernama)
RAWANG:
Polis akan menyiasat daripada pelbagai aspek termasuk dakwaan dibantu individu lain, berhubung isu ahli perniagaan kosmetik Muhammad Sajjad Kamarul Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat yang melarikan diri ke Thailand.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Abd Jalil Hassan, berkata siasatan dan maklumat akan diserahkan kepada pihak berkuasa berkaitan bagi menentukan kaedah terbaik agar sempadan negara tidak mudah dibolosi.

“Kami tidak mahu lagi kejadian seperti berlaku pada Nur Sajat yang berjaya melarikan diri dari sempadan negara berulang. Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga,” katanya pada sidang media sindiket curi lori di sebuah gudang di Jalan Batu Arang, di sini.

Abd Jalil berkata, Muhammad Sajjad telah dituduh oleh pihak berkuasa Thailand bawah Akta Imigresen negara itu, namun dia memohon taraf pelarian Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

“Mereka (UNHCR) sedang berusaha membolehkan dia dianggap sebagai pelarian di Thailand,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang berusaha bersama Kementerian Luar dan pejabat Peguam Negara untuk proses mengekstradisi ahli perniagaan kosmetik itu ke Malaysia.

“Terpulang kepada pihak berkenaan untuk memberi kuasa kepada polis bagi membolehkan dibawa pulang melalui proses undang-undang Malaysia dan antarabangsa. Polis menasihatkan Nur Sajat, sekiranya dia dengar berita ini, kami minta dia pulang dengan cara baik bagi berhadapan kes yang perlu dilaluinya,” katanya.

Semalam, Bernama melaporkan polis dalam proses memohon mengekstradisi Muhammad Sajjad daripada pihak berkuasa Thailand.

Muhammad Sajjad, diburu oleh pihak berkuasa Malaysia selepas waran tangkap terhadapnya dikeluarkan kerana gagal hadir pada sebutan semula pertuduhan berpakaian menyerupai wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

Pada 15 Jun lalu, polis turut menjejaki Muhammad Sajjad bagi membantu perbicaraan kes penipuan pertukaran nama dan jantina pada kad pengenalan yang sedang berlangsung di Mahkamah Ampang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.