Alat penyembur sanitasi perlu ada label amaran, kata FOMCA

Alat penyembur sanitasi perlu ada label amaran, kata FOMCA

Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menggesa kerajaan memantau penjualannya secara dalam talian atau di premis.

Kementerian Kesihatan (KKM) memberi amaran mengenai kesan buruk penggunaan alat penyembur sanitasi. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Semua alat penyembur sanitasi perlu mempunyai label amaran untuk mengingatkan pengguna supaya tidak menyemburkannya secara langsung kepada orang lain, kata kumpulan pengguna.

Ia susulan amaran yang dikeluarkan oleh pakar mengenai kesan sampingan alat itu kepada kesihatan.

Kementerian Kesihatan (KKM) turut memberi amaran mengenai kesan buruk sekiranya kandungan penyembur yang biasanya terdiri daripada cecair peluntur itu terkena kulit atau seseorang terhidunya.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, alat penyembur itu boleh digunakan untuk membersihkan bahagian permukaan tetapi tisu pengelap masih menjadi cara yang lebih sesuai untuk menyahkuman bahagian itu.

Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Marimuthu Nadason berkata, selain label yang jelas, kerajaan harus memantau lebih ketat penjualan alat penyembur ‘nano-mist’ itu secara dalam talian atau di premis.

Katanya, terdapat senarai menunjukkan dakwaan palsu kononnya alat itu selamat digunakan ke atas tubuh manusia selain mengatakan ia telah diberikan sijil oleh Kementerian Kesihatan dan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA).

Bercakap kepada FMT, Marimuthu berkata, penjualan beberapa bahan kimia yang didatangkan bersama alat terbabit harus dipantau kerana ia dibimbangi boleh mengancam nyawa.

Katanya, pusat beli belah dalam talian harus meletakkan amaran dan mengeluarkan semua dakwaan palsu yang disenaraikan itu.

Bekas kakitangan di Pentagon dan kontraktor pertahanan serta pakar nyahkuman, LT Leong (Gambar LT Leong)

Marimuthu berkata, semua penjual juga perlu menyertakan maklumat mengenai spesifikasi penting seperti jenis bahan kimia yang digunakan, bagaimana ia perlu disimpan dan beberapa keperluan keselamatan lain secara jelas.

Beliau turut menggesa Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Kesihatan untuk mengarahkan pusat beli belah dalam talian mengambil langkah itu dan pada yang sama, mengadakan pemeriksaan terhadap bahan jualan bagi mengesan kesalahan.

“Pengguna juga perlu berwaspada. Mereka perlu memaklumkan bahawa ia tidak elok untuk disemburkan kepada orang lain. Tidak ada yang boleh menggantikan amalan mencuci tangan secara kerap dan penjarakan sosial dalam melawan Covid-19,” katanya.

Penyelesaian nyahkuman yang murah, kata pakar

Sementara itu, pakar nyahkuman LT Leong berkata, pengguna perlu mengelakkan daripada menggunakan perkhidmatan nyahkuman yang ditawarkan pada harga terlalu murah untuk kediaman dan premis komersil kerana ia mungkin tidak berkesan.

Beliau yang juga bekas kakitangan di Pentagon dan kontraktor pertahanan berkata, penyelesaian yang murah biasanya akan menyebabkan kerosakan bahagian permukaan selain fabrik, besi dan permaidani kerana penggunaan bahan yang menghakis.

Katanya, sesetengah bahan cecair yang digunakan itu boleh merosakkan pelbagai barangan dengan mudah selepas disembur dalam tempoh enam bulan dan akhirnya menyebabkan barangan perabot, peranti elektrik dan barangan lain terpaksa diganti dengan perbelanjaan mahal.

Menurutnya, pelanggan harus bertanyakan kepada syarikat perkhidmatan itu mengenai bahan yang digunakan dan boleh membuat pemeriksaan di laman sesawang Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (AS), seperti yang disarankan oleh ketua pengarah baru-baru ini.

Leong berkata, ini bagi memastikan cecair yang digunakan untuk tujuan sanitasi itu berkesan melawan patogen dan memenuhi standard keselamatan.

“Ketika pandemik, ia amat penting untuk melakukan nyahkuman terhadap semua kawasan permukaan, tempat tinggi serta peralatan dan melakukannya secara berkesan dan pantas.

“Terdapat beratus syarikat yang mendakwa sebagai pakar tetapi menggunakan kaedah murah. Namun adakah mereka benar-benar melindungi anda?

“Mencegah lebih baik daripada merawat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.