
Menteri Kanan Pertahanan, Hishammuddin Hussein berkata, cadangan itu akan dibawa ke Jawatankuasa Khas Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob esok.
“Penting untuk saya jelaskan fokus Menteri Kuartet adalah untuk membuka sektor yang terlibat secara berperingkat dan selamat,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini yang turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Nancy Shukri serta Menter Belia dan Sukan, Ahmad Faizal Azumu.
Jika cadangan itu diluluskan, ia akan dilaksanakan di seluruh negara, kecuali kawasan dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).
Ketika ini, tiga perniagaan itu dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 10 malam.
Empat menteri dalam mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19 itu adalah Hishammuddin, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa serta Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz.
Hishammuddin berkata, menuju ke fasa endemik, lebih banyak kelonggaran akan diberikan kepada rakyat.
“Sehubungan itu, saya berharap rakyat tidak leka, sebaliknya kekal berdisiplin dalam mengamalkan SOP serta mematuhi garis panduan ditetapkan.
“Ia harus dititik beratkan kerana sebaik sahaja kerajaan mengumumkan bermulanya fasa endemik, bermakna kita semua perlu hidup bersama virus Covid-19.”
Beliau berkata, mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19 hari ini turut memberi tumpuan kepada sektor pelancongan dan sukan.
Katanya, Nancy sudah memaklumkan perkembangan terkini projek perintis gelembung pelancongan Langkawi yang berjalan lancar seperti dirancang setakat ini.
Beliau berkata, jika perkembangan positif itu berterusan, ia mampu menjadi pembuka jalan ke arah pelaksanaan inisiatif gelembung pelancongan di destinasi lain.
“Menteri Kuartet menetapkan dua minggu untuk menilai perkembangan terkini di Langkawi sebelum mengangkat cadangan destinasi lain ke Jawatankuasa Khas Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri.
“Menteri Belia dan Sukan pula membentangkan pembukaan gimnasium dan ‘bowling alley’ yang diumumkan minggu lepas.
“Penting untuk dijelaskan kerajaan membenarkan pembukaan aktiviti sukan dan rekreasi di kawasan tertutup (indoor) dengan mengambil kira tonggak ketiga, iaitu kesejahteraan rakyat, terutama dari sudut kesihatan mental serta memahami kehendak pengusaha gimnasium sendiri.”