Semua penjawat awam wajib ambil vaksin, JPA bawa cadangan kepada MKN

Semua penjawat awam wajib ambil vaksin, JPA bawa cadangan kepada MKN

Bagaimanapun kewajipan itu tidak membabitkan individu yang benar-benar mempunyai alasan kukuh untuk mendapatkan pengecualian penerimaan vaksin.

Jumlah peratusan penjawat awam mengambil vaksin sudah mencapai hampir 98% berbanding kelompok mereka yang belum berbuat demikian.
PETALING JAYA:
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bercadang mewajibkan pengambilan vaksin dalam kalangan penjawat awam bertujuan memberi jaminan, serta meningkatkan keyakinan dalam kalangan orang awam yang berurusan di bangunan kerajaan.

Katanya, langkah wajib vaksinasi itu adalah antara cadangan akan dibawa JPA kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk diputuskan.

JPA dalam kenyataannya memaklumkan, bagaimanapun kewajipan itu tidak membabitkan individu yang benar-benar mempunyai alasan kukuh untuk mendapatkan pengecualian penerimaan vaksin atas faktor kesihatan.

“Secara dasarnya, semua penjawat awam adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993].

“Justeru, semua penjawat awam perlulah mematuhi peraturan sedia ada, termasuk dalam urusan kehadiran bertugas di pejabat apabila mereka diarahkan bertugas oleh Ketua Jabatan.

“Kita hendaklah melindungi diri, sebelum kita mahu melindungi orang lain,” katanya menurut laporan Berita Harian.

JPA berpandangan, beberapa langkah boleh diambil kementerian atau jabatan masing-masing berdasarkan peraturan sedia ada bagi memastikan penjawat awam secara keseluruhannya dapat mengambil vaksin.

“Sehingga kini, jumlah peratusan penjawat awam yang mengambil vaksin ini sudah mencapai hampir 98%, berbanding kelompok mereka yang belum berbuat demikian.

“Namun, perkara ini perlu diberikan keutamaan bagi memberikan keyakinan dan jaminan untuk orang ramai datang berurusan dengan penjawat awam di premis kerajaan, di samping usaha mengembalikan perkhidmatan kerajaan pada tahap pengoperasian penuh berdasarkan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Mohd Khairul Adib Abd Rahman, mencadangkan untuk mewajibkan saringan berkala ke atas penjawat awam yang enggan divaksin tanpa alasan kesihatan.

Bagaimanapun, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Adnan Mat, berpendapat kos saringan berkala itu perlu ditanggung penjawat awam kerana kerajaan tidak patut dibebankan dengan perbelanjaan tambahan berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.