Kita cuba yang terbaik laksana Undi18, daftar pemilih automatik, kata Wan Junaidi

Kita cuba yang terbaik laksana Undi18, daftar pemilih automatik, kata Wan Junaidi

Menteri Undang-undang, Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kerajaan mengambil keputusan untuk tidak mengemukakan rayuan berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching.

Wan Junaidi berkata, kerajaan akan akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching dan merintis usaha terbaik bagi memastikan Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik dilaksanakan lebih awal daripada sepatutnya.
PETALING JAYA:
Kerajaan akan berusaha yang terbaik dalam melaksanakan Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik menjelang 31 Dis tahun ini seperti diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuching, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“Untuk makluman Dewan Rakyat keputusan Mahkamah Tinggi Kuching bahawa Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik mesti disekalikan dan tidak boleh pisah.

“Kita laksanakan apa mahkamah beri keputusan dan ‘we try our best to implement’ (kita usaha sebaik mungkin untuk melaksanakannya),” katanya di Dewan Rakyat.

Pada 3 Sept lalu, Mahkamah Tinggi Kuching mengarahkan kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob melaksanakan pindaan Undi18 sebelum 31 Dis ini.

Pesuruhjaya Kehakiman, Alexander Siew membenarkan permohonan yang difailkan lima belia Sarawak untuk mencabar keputusan kerajaan terdahulu tidak melaksanakan pindaan Undi18 pada Julai.

Lima belia Sarawak, berusia 19 hingga 20 tahun, memfailkan permohonan Mei lalu untuk membatalkan keputusan kerajaan ketika itu untuk tidak melaksanakan pindaan Undi18 pada Julai.

Mereka mendakwa keputusan menangguhkan pelaksanaan itu tidak munasabah kerana ia menafikan hak mereka menjadi pengundi. Buat masa ini, hanya rakyat berumur 21 tahun ke atas boleh mendaftar sebagai pemilih.

Dalam pada itu, Wan Junaidi juga berkata, kerajaan mengambil keputusan untuk tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching itu.

Beliau juga berkata, keputusan kerajaan tidak membuat rayuan dipersetujui oleh Jemaah Menteri menerusi mesyuarat yang diadakan pada 10 Sept lalu.

Katanya, kerajaan persekutuan akan akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching dan merintis usaha terbaik bagi memastikan Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik di negara ini dilaksanakan lebih awal daripada jadual asal.

“Saya sebenarnya sudah baca laporan yang berlaku di Kuching dan dapati bahawa dari sudut perundangan, tiada perbezaan pendirian antara peguam negara dan mahkamah, hanya yang tinggal memendekkan masa sahaja sebab dalam program awal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pelaksanaan dijangka menjelang Sept 2022,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.