Kadar penggunaan katil hospital antara faktor Kedah, Johor tak dapat beralih fasa PPN

Kadar penggunaan katil hospital antara faktor Kedah, Johor tak dapat beralih fasa PPN

Ketua Pengarah Keselamatan Negara Majlis Keselamatan Negara (MKN) Rodzi Md Saad berkata ia meskipun kadar vaksinasi di kedua negeri itu berada pada tahap yang baik.

Ketua Pengarah Keselamatan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Rodzi Md Saad berkata, penduduk di negeri terbabit perlu menyedari kepentingan pematuhan prosedur operasi standard yang tinggi dan semua protokol keselamatan ditetapkan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Antara faktor negeri Kedah dan Johor belum beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) adalah berikutan kadar penggunaan katil hospital termasuk di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) yang masih tinggi.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara Majlis Keselamatan Negara (MKN) Rodzi Md Saad berkata, ia berlaku meskipun kadar vaksinasi di kedua-dua negeri itu berada pada tahap yang baik.

Sehubungan itu katanya, penduduk di negeri berkenaan perlu menyedari kepentingan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang tinggi dan mematuhi semua protokol keselamatan ditetapkan.

“Kalau hanya soal kenapa tidak beralih fasa sedangkan kita tidak hidup dalam disiplin yang dikehendaki, tentulah tidak capai keadaan (peralihan fasa) ini. Jadi masa depan peralihan fasa bergantung kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Bicara Naratif bertajuk “Keselamatan Menyeluruh” yang disiarkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam tadi.

Beliau yakin penduduk di kedua-dua negeri itu juga sudah pasti mahu peralihan fasa bagi membolehkan mereka menikmati kelonggaran yang diberikan.

Ketika ini, negeri-negeri yang diletakkan di bawah Fasa 1 PPN ialah Kedah dan Johor, Fasa 2 (Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka, Sabah), Fasa 3 (Perlis, Negeri Sembilan, Sarawak) dan Fasa 4 ialah Labuan.

Sementara itu, Rodzi berkata, sistem pertahanan dan keselamatan siber negara adalah setaraf dengan negara maju dan turut mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

“Di peringkat Asean, kita saling bertukar pandangan dan pengalaman malah input pengalaman Malaysia turut dirujuk oleh negara lain seperti Singapura dalam mengurus ancaman siber di negara mereka,” katanya, menurut laporan Bernama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.