Genting Highlands, Melaka, Tioman bakal dibuka untuk gelembung pelancongan mulai 1 Okt, kata menteri

Genting Highlands, Melaka, Tioman bakal dibuka untuk gelembung pelancongan mulai 1 Okt, kata menteri

Nancy Shukri berkata, jika cadangan dipersetujui Jawatankuasa Khas Pengurusan Covid-19 esok, tiga lokasi itu akan mula dibuka mulai 1 Okt dengan SOP ditetapkan.

Nancy Shukri berkata, selain tiga lokasi itu, ada beberapa kawasan pelancongan lain akan diumumkan kemudian jika dipersetujui. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mesyuarat kedua Menteri Kuartet Covid-19 hari ini bersetuju untuk mencadangkan tiga lagi destinasi di bawah program gelembung pelancongan seperti dilaksanakan di Langkawi.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Nancy Shukri berkata, cadangan itu membabitkan Genting Highlands, Melaka dan Tioman.

Katanya, keputusan itu akan diangkat kepada Jawatankuasa Khas Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob esok sebelum dimuktamadkan termasuk memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Kita menyaksikan prestasi Langkawi memberi kita ruang untuk membuka destinasi-destinasi baharu dan tadi saya berpeluang memberi cadangan destinasi-destinasi itu. Untuk hari ini kita telah meluluskannya dan ia akan dibentangkan (sekali) lagi esok,” katanya pada sidang media hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu, Menteri Kanan Pertahanan, Hishammuddin Hussein dan Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu

Katanya, jika ia dipersetujui, tiga lokasi itu, iaitu Genting Highlands, Melaka dan Tioman akan mula dibenar untuk dibuka mulai 1 Okt dengan SOP yang diperhalusi dan ditetapkan kerana ia turut membabitkan lokasi pelancongan di tanah besar.

Nancy berkata, selain tiga kawasan itu, ada beberapa kawasan pelancongan lain yang akan diumumkan kemudian jika dipersetujui.

Sebelum ini kerajaan bersetuju untuk membuka sektor pelancongan di beberapa destinasi di bawah program gelembung pelancongan berdasarkan syarat-syarat ditetapkan.

Sebagai permulaan, Langkawi dipilih sebagai projek rintis untuk dibuka kembali kepada pelancong tempatan bermula 16 Sept lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.