
Anwar yang juga Presiden PKR berkata, perayaan itu menjadi asbab kepada kedua-dua kelompok untuk meneruskan dialog peradaban antara masyarakat Cina dan Islam yang berkongsi dasar kalendar sama.
“Selalu saya tegaskan tentang peri penting membaca dan menelaah ciri-ciri pelbagai budaya yang ada di Malaysia termasuk kisah-kisah purba tamadun terdahulu agar kita faham budaya tetangga kita, dan secara tidak langsung akan menguatkan kerukunan dan sistem bangsa,” katanya di Facebook.
Beliau berkata, kisah purba mengenai Dewi Bulan Chang’e dan kekasihnya yang juga seorang pemanah Hou Yi menekankan nilai cinta, keinginan dan pengorbanan yang terpancar di seluruh budaya di Malaysia.
“Saya berharap budaya membaca untuk memahami pelbagai budaya yang ada di sekeliling kita dapat diperhebat agar kerukunan dapat terbina dan bersama dalam menempuh tantangan agar masyarakat dan semangat kekeluargaan di negara ini terus utuh dan bersatu padu,” katanya.
Perayaan itu yang turut dikenali sebagai festival kuih bulan kebiasaannya jatuh pada tarikh ke-15, dalam bulan kelapan kalendar lunar masyarakat Cina.
Festival itu dianggap kedua paling penting terhadap komuniti Cina, selepas sambutan Tahun Baharu Cina.