
Kaji selidik oleh Centre for Governance and Political Studies (Cent-GPS) dengan kerjasama All Women’s Action Society (AWAM) yang membabitkan seramai 1,056 responden itu bertujuan untuk mengenal pasti tahap keselamatan yang dihadapi ketika wanita melakukan aktiviti harian.
Berdasarkan pecahan kajian, 79% responden adalah wanita Melayu manakala selebihnya bukan Melayu.
Kaji selidik dijalankan bermula 24 Ogos hingga 15 September itu turut mendedahkan bahawa 68% responden mengakui berasa tidak selamat ketika memandu secara bersendirian pada waktu malam.
Malah hampir separuh responden turut mendedahkan mereka pernah mengalami atau menyaksikan guru membuat jenaka provokatif secara seksual.
Manakala sebanyak 57% wanita juga mengatakan mereka pernah mengalami sentuhan yang tidak diingini.
Dalam kenyataan, Cent-GPS berkata, biarpun ia hanya tinjauan awal tetapi setiap persoalan berhubung perkara itu harus membuka mata semua pihak khususnya pemimpin dan golongan lelaki.
“Lebih penting lagi apabila tinjauan ini menumpukan golongan wanita berusia 18 hingga 30 tahun. Sebelum usia 30 tahun lagi, ada yang sudah berasa bimbang untuk bertemu doktor serta berjalan-jalan di luar dengan tenang.
“Dalam mengejar cita-cita untuk menjadi negara maju, ia tidak hanya boleh diukur berdasarkan status negara berpendapatan tinggi sedangkan wanita masih takut untuk menjalankan kehidupan harian seperti bertemu doktor,” kata kenyataan itu.