
Presiden Persatuan Agensi Pekerja Asing Malaysia (PAPA) Foo Yong Hooi memberitahu FMT, ini amat penting terutama memandangkan semakin banyak syarikat beralih daripada amalan bekerja dari rumah, dalam pada penduduk negara ini semakin lengkap divaksin.
“Keluarga yang bekerja perlu menjaga anak mereka, dan menghantar anak-anak ini ke pusat penjagaan harian lebih berisiko berbanding mempunyai pembantu yang tinggal serumah.”
Katanya, memandangkan kerajaan telah meluluskan 32,000 pekerja ladang warga asing, perkara sama wajar dilakukan untuk pembantu rumah kerana golongan itu tidak kurang pentingnya.
Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata, kerajaan sedang merangka SOP termasuk mengenal pasti pusat kuarantin dengan kapasiti 2,000 orang berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), untuk memudahkan kemasukan 32,000 pekerja ladang susulan aduan mengenai kekurangan tenaga kerja.
Foo menambah, kerajaan juga boleh meletakkan SOP untuk pembantu rumah.
“Sudah pasti, negara asal mereka juga mungkin mempunyai kadar jangkitan yang tinggi, namun kita boleh memastikan SOP sewajarnya untuk kuarantin wajib bagi golongan itu.
“Ini termasuk prosedur membolehkan mereka diinokulasi ketika dalam kuarantin, selain meningkatkan tempoh kuarantin kepada 21 hari dengan individu terlibat hanya dilepaskan selepas menerima suntikan dos kedua.
“Bagi mereka yang telah divaksin lengkap pula, tempoh kuarantin boleh disingkatkan,” katanya.
Larangan berterusan terhadap pembantu rumah warga asing juga mungkin mengakibatkan orang ramai mengambil pekerja seperti itu secara haram seterusnya meningkatkan risiko untuk keluarga mereka, katanya.