6,000 tak hadir dos pertama di Kedah, 523 langgar kuarantin kendiri, kata KJ

6,000 tak hadir dos pertama di Kedah, 523 langgar kuarantin kendiri, kata KJ

Menteri Kesihatan sangat bimbang pelanggaran peraturan dan keengganan divaksin akan membantutkan proses pemulihan di Kedah.

Khairy Jamaluddin beramah mesra dengan petugas barisan hadapan ketika lawatan rasmi sehari ke Kedah semalam. (Gambar Facebook Khairy Jamaluddin)
PETALING JAYA:
Seramai 6,000 penduduk di Kedah tidak menghadiri janji temu vaksin Covid-19 mereka, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang bimbang trend itu perlu diterbalikkan dalam membantu pemulihan negeri itu.

Katanya, 20% populasi Kedah belum mendaftar aplikasi MySejahtera dan 523 pesakit Covid-19 didapati melanggar kuarantin kendiri mereka minggu lalu.

Beliau berkata, 18% daripada mereka yang melanggar kuarantin kendiri itu pernah ke pasar raya.

“Saya sangat bimbang jika situasi pelanggaran peraturan dan keengganan untuk mendapatkan suntikan vaksin seperti yang saya nyatakan tadi akan membantutkan proses pemulihan yang sedang diusahakan,” tulisnya dalam Facebook selepas lawatan kerja rasmi seharinya ke Kedah semalam.

Khairy berkata, beliau sudah mengarahkan Jabatan Kesihatan Negeri mempergiatkan aktiviti vaksinasi dan meningkatkan usaha memberi kefahaman betul mengenai risiko jangkitan Covid-19, khasnya kepada penduduk di kawasan pedalaman.

Katanya, situasi Covid-19 di negeri itu semakin baik dari segi kemasukan ke hospital, penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan jumlah kes harian.

Kedah mencatatkan 809 kes baharu semalam, menjadikan keseluruhannya 125,791 kes. Akan tetapi, terdapat 17,920 kes aktif di negeri itu dengan daerah Kuala Muda mencatatkan jangkitan tertinggi, iaitu 4,201 kes, disusuli Kota Setar (3,992) dan Kulim (3,823).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.