
Menjawab soalan yang dikemukakan Hannah Yeoh (PH-Segambut), Rina berkata, 154 orang berstatus yatim piatu atau kehilangan kedua-dua ibu bapa mereka sejak pandemik Covid-19 melanda negara.
“Kanak-kanak boleh ditempatkan di institusi JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) sekiranya kanak-kanak tidak mempunyai waris atau saudara mara yang boleh menjaga mereka berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 17 Akta Kanak-kanak 2001,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Rina turut memaklumkan bahawa bantuan kewangan sebanyak RM200 disalurkan kepada setiap kanak-kanak berusia bawah tujuh tahun, manakala mereka berumur tujuh tahun ke atas akan menerima RM150.
Katanya, kerajaan juga sudah menaikkan had bantuan maksimum daripada RM400 bagi setiap keluarga sebelum ini kepada RM1,000 untuk setiap keluarga melalui Belanjawan 2021.
Dalam pada itu, Rina memaklumkan kementeriannya turut menawarkan perkhidmatan kaunseling kepada kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa, selain menerima bantuan daripada pakar psikologi untuk memastikan emosi mereka stabil.
Bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, Yeoh, bagaimanapun mempersoalkan kaedah digunakan kementerian berkenaan bagi mengkoordinasi data kementerian itu memandangkan sebulan lalu Rina mengumumkan hanya 33 kanak-kanak kehilangan ibu bapa mereka akibat Covid-19.
Kata Rina, lonjakan jumlah anak yatim itu diperoleh melalui integrasi data membabitkan kementeriannya, KPM dan Kementerian Kesihatan (KKM), serta polis dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Ketika ditanya jika “trigger system” akan diperkenalkan kementerian bagi memastikan data lebih berintegrasi dapat dihasilkan, Rina berkata, beliau akan menjawab soalan itu melalui jawapan bertulis kerana kementeriannya sedang mengemas kini data.