
Mendedahkan perkara ini, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang berkata, 216 daripada 779 guru itu bersetuju menerima vaksin selepas mendengar pengalaman dan penerangan Tunku Ismail sendiri.
“Saya difahamkan jumlah guru yang menolak vaksin semakin berkurangan. Kita masih terus memberikan penerangan dan kefahaman kepada mereka dan saya menjunjung kasih, berterima kasih kepada Tunku Mahkota Johor yang mencemar duli berjumpa dalam sesi temu bual dengan guru tersebut,” katanya selepas meninjau proses pemberian vaksin kepada pelajar Tingkatan 4 dan 5 di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Daya, di sini.
Beliau mengulas status kumpulan guru di Johor yang sebelum ini dilaporkan enggan menerima vaksin.
Mazlan berkata, baki 563 guru yang belum membuat keputusan untuk menerima vaksin majoritinya mempunyai masalah kesihatan serta mengandung.
Bagaimanapun beliau berkata, jumlah guru yang menolak vaksin masih kecil melibatkan kurang 1% daripada keseluruhan kira-kira 48,000 guru di Johor.