
Menjawab laporan mengenai sindiket yang kononnya menjual sijil vaksin digital dan fizikal, Khairy berkata pihaknya telah meminta polis menyiasat perkara tersebut.
“Ingin saya tegaskan di sini bahawa apa yang dilakukan oleh sindiket-sindiket ini sekiranya benar, adalah sangat tidak bertanggungjawab dan adalah satu penghinaan kepada usaha gigih petugas barisan hadapan serta sukarelawan vaksin untuk memastikan sebanyak mungkin penduduk di Malaysia menerima vaksinasi lengkap,” katanya.
Semalam, FMT melaporkan satu hantaran di Telegram yang tular mendakwa menawarkan tiga jenis sijil vaksin palsu – termasuk yang mempunyai kod QR yang boleh diimbas melalui aplikasi MySejahtera.
Beberapa tangkap layar yang tersebar di media sosial itu menunjukkan pelbagai “pakej” yang ditawarkan dengan harga berbeza.
Masalah sijil digital MySejahtera
Sementara itu, Khairy berkata, bagi individu yang telah lengkap divaksin tetapi masih belum menerima sijil vaksin digital di dalam aplikasi MySejahtera, boleh menggunakan kad vaksinasi fizikal sebagai bukti telah diinokulasi.
Katanya, antara aduan yang diterima melibatkan pengguna mempunyai lebih daripada satu akaun MySejahtera. Sijil digital vaksin hanya akan dipaparkan di dalam akaun MySejahtera yang digunakan ketika menerima vaksin di PPV.
Beliau juga berkata, beberapa aduan lain berpunca daripada maklumat bertindan apabila ada tanggungan (dependent) pemilik akaun memuat turun aplikasi berkenaan untuk mengakses sijil vaksin digital di peranti sendiri.
Ujarnya, untuk masalah itu pemilik akaun perlu memadam tanggungannya dalam aplikasinya, bagi membolehkan tanggungan mendaftar akaun MySejahtera miliknya sendiri.
Selain itu, 71,408 aduan melibatkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tidak melengkapkan proses atau dokumentasi setelah individu selesai menerima vaksin.
MySejahtera sedang membuat penyelarasan dengan PPV yang terlibat untuk memastikan pengguna akan terima paparan sijil digital vaksin di dalam aplikasi MySejahtera mereka.
“Selain itu, terdapat juga aduan daripada individu yang menerima vaksin di PPV yang bukan dikendalikan oleh KKM dan ProtectHealth Corporation (Protect Health). Masalah ini berlaku kerana PPV ini tidak menggunakan sistem MySejahtera,” katanya.
Katanya, sijil digital hanya akan dikeluarkan setelah PPV bukan kendalian KKM atau yang dikendalikan ProtectHealth menghantar maklumat kepada MySejahtera.
Khairy turut memaklumkan, dalam tempoh seminggu, MySejahtera telah menyelesaikan lebih 500,000 aduan.