P Pinang perlu lebih banyak hospital medan, kata Guan Eng

P Pinang perlu lebih banyak hospital medan, kata Guan Eng

Setiausaha Agung DAP berkata penggunaan katil di ICU di seluruh negeri itu telah mencapai 96.6%.

Hospital medan yang dibina di kawasan parkir HPP dijangka beroperasi dalam tempoh terdekat. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Terdapat keperluan untuk mewujudkan lebih banyak hospital medan di Pulau Pinang bagi menampung peningkatan kes Covid-19 di negeri itu, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) di seluruh negeri telah mencapai 96.6% dan ini menjadikannya negeri kedua tertinggi dari segi penggunaan katil ICU.

Lim mencadangkan kepada Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin untuk meneliti usaha mewujudkan lebih banyak hospital medan dengan menambahkan katil ICU di kawasan dengan kes Covid-19 yang tinggi seperti Seberang Jaya, Nibong Tebal dan Balik Pulau.

“Penduduk di Pulau Pinang amat bersyukur apabila Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyiapkan segera hospital medan yang terdiri 96 katil biasa dan empat katil ICU di parkir Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Bagaimanapun, penggunaan katil ICU hampir mencapai kapasiti penuh dan Khairy harus mempertimbangkan untuk membina lebih banyak hospital medan di Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan.

Pada 11 September, Khairy berkata sebuah hospital medan akan dibina di kawasan parkir hospital awam untuk menampung lebih ramai pesakit Covid-19 di Pulau Pinang.

ATM mula membina hospital medan terbabit pada 16 September dengan menempatkan 23 khemah di kawasan seluas 2,300 meter persegi dan ia dijangka beroperasi dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, Lim turut mencadangkan kepada Khairy untuk memanfaatkan dana tambahan sebanyak RM5 bilion menerusi peruntukan yang disalurkan kepada kementeriannya iaitu sebahagian daripada suntikan dana berjumlah RM45 bilion untuk memerangi Covid-19, seperti dalam Perjanjian Persefahaman (MoU) ditandatangani antara kerajaan persekutuan dan Pakatan Harapan pada 13 September.

Katanya, ia bukan hanya membantu untuk menjalankan ujian saringan secara besar-besaran di seluruh negara tetapi juga menambah tenaga kerja dengan mengambil doktor kontrak secara tetap dan meningkatkan perkhidmatan sokongan kesihatan, seperti katil ICU.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.